Categories
SELANGOR

MB: PKNS, KPS digesa desak konsesi batal kenaikan harga tol

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 OKT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) digesa mendesak syarikat konsesi lebuh raya supaya membatalkan kenaikan kadar tol.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, berkata, dua anak syarikat Kerajaan Negeri itu adalah pemegang saham minoriti dalam Kesas Holding Berhad (KESAS) dan Sprint Sdn Bhd (SPRINT).

MB Azmin“Kerajaan Negeri memanggil PKNS yang memegang 30 peratus dalam KESAS, manakala KPS pula mempunyai 20 peratus (SPRINT) untuk memberi penjelasan berkenaan pengumuman yang dibuat syarikat konsesi itu.

“Kita dimaklumkan sehingga hari ini tiada sebarang mesyuarat lembaga pengarah yang dipanggil pengurusan KESAS dan SPRINT untuk membincangkan keputusan berkenaan perkara ini tetapi hanya makluman sahaja.

“Kerajaan Negeri mengarahkan PKNS dan KPS menulis surat kepada pengurusan dua syarikat konsesi itu untuk mendesak satu mesyuarat khas lembaga pengarah dilakukan bagi membincangkan perkara ini.

TOL LEBUHRAYA“Dalam mesyuarat itu nanti Kerajaan Negeri mengarahkan PKNS dan KPS membantah serta menolak kenaikan tol itu,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, PKNS dan KPS bertanggungjawab mewakili pendirian Kerajaan Negeri yang tidak membenarkan sebarang kenaikan kadar tol walaupun hanya pemegang saham minoriti.

Beliau turut kesal keputusan Kerajaan Persekutuan membenarkan kenaikan kadar tol sambil menyifatkan keputusan itu tidak bertanggungjawab.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.