Categories
NASIONAL

Mahkamah Tinggi arah Utusan bayar Anwar RM200,000

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 19 OKT: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini memutuskan Utusan Melayu (M) Bhd memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memerintahkan syarikat penerbitan akhbar kawalan Umno itu membayar ganti rugi kepadanya RM208,000.

Hakim, Datuk Hue Siew Kheng dalam keputusan mengarahkan Utusan Malaysia sebagai defendan membayar kepada Anwar selaku plaintif sebanyak RM200,000 serta faedah untuk ganti rugi berhubung laporan diterbit akhbar itu.

mahkamah 3Laporan itu menurut Hue jelas menimbulkan fitnah dan berniat jahat terhadap Anwar dengan peguambela defendan gagal dalam pembelaannya.

Peguam Anwar, N Surendran ketika ditemui media selepas itu berkata, keputusan itu membuktikan Utusan Malaysia tidak mengamalkan etika kewartawanan yang adil dan bertanggungjawab.

“Ini adalah satu vindikasi menunjukkan bahawa Anwar difitnah Utusan Malaysia yang diketahui dimiliki sepenuhnya Umno.

“Walaupun dibuktikan atau banyak kes saman malu yang mereka kalah tetapi tetap mengulangi kes seperti ini. Kita harap ia menjadi pengajaran jelas supaya mengeluarkan laporan yang adil,” katanya kepada media.

mahkamah 6Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turut melahirkan kesyukuran dengan keputusan dibuat mahkamah itu.

“Alhamdulillah kita bersyukur menang kes,” katanya.

Anwar mengemukakan saman terhadap Utusan Malaysia berhubung penerbitan laporan temubualnya bersama Perbadanan Penyiaran British (BBC) menyentuh soal undang-undang homoseksual.

Saman itu difailkan pada Januari 2012 dan menuntut ganti rugi RM50 juta dengan dakwaan defendan menerbitkan laporan berunsur fitnah terhadap plaintif.

Pada 2013, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk V T Singham membenarkan tuntutan saman itu dan memutuskan wujud unsur fitnah dalam laporan Utusan Malaysia pada 17 Januari 2012.

Utusan Malaysia diwakili peguambela, Firuz Hussein Ahmad.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.