Categories
SELANGOR

MB: UNISEL disaran wujud kampus di negara jiran

Oleh: AFIX REDZUAN

BESTARI JAYA, 24 OKT: Universiti Selangor (UNISEL) perlu mendepani cabaran pendidikan global dengan menubuhkan kampus di negara jiran serta mengadakan kerjasama bersama universiti terkemuka dunia.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata langkah itu bagi merealisasikan hasrat Negeri Selangor menjadi hub pendidikan serantau.

Unisel-GrafikKatanya beliau yakin UNISEL mempunyai potensi kecanggihan teknologi dan inovasi bagi memenuhi permintaan industri yang mula beralih dari tenaga kerja ramai kepada teknologi tinggi dan industri berintensif modal.

“Kerajaan Negeri melalui UNISEL berhasrat meneroka konsep start up dalam bidang baru yang produktif sosial seperti latihan dan kemahiran tinggi untuk membangunkan talent bank.

“Tahniah kepada UNISEL yang menjalin kerjasama dalam bidang teknologi hijau dan automasi, automobil, keusahawanan, kejuruteraan kapal terbang dan teknologi pengeluaran makanan ternakan,” katanya pada Istiadat Konvokesyen Ke-10 UNISEL 2015, di sini hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri bakal mewujudkan prasarana untuk berinteraksi dengan rakyat secara waktu sebenar bagi menjamin sistem penyampaian efektif.

“Untuk merealisasikan cita-cita ini, pelaburan yang tinggi amat diperlukan.

“Pada tahun hadapan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM20.9 juta untuk bayaran balik sukuk BaIDS bagi pembangunan UNISEL,” katanya.

Selain itu, UNISEL juga boleh memainkan peranannya menghubungkan kerajaan, industri, universiti dan masyarakat dengan menjayakan perhubungan serantau melalui rangkaian ilmu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.