Categories
SELANGOR

MBSA kuatkuasa operasi tunda kereta

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 16 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menguatkuasakan operasi penundaan kenderaan di sekitar kawasan Shah Alam khususnya di sekitar Plaza Alam Sentral, pusat bandar, Kota Kemuning dan Sungai Buloh.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad, berkata operasi itu bertujuan mendidik orang ramai untuk meletakkan kenderaan masing-masing di tempat letak kereta yang disediakan.

MBSA-Shahrin Ahmad“Ini juga dapat memastikan keadaan jalan tidak mengalami kesesakan lalu lintas seterusnya mengakibatkan aliran trafik terganggu ekoran kenderaan diletakkan di bahu jalan.

“Operasi ini juga adalah respon kepada aduan awam yang diterima MBSA terhadap kenderaan yang diletakkan di bahu jalan khususnya di sekitar Plaza Alam Sentral dan pusat bandar,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahrin berkata, kompaun dan caj penundaan RM270 dikenakan terhadap kenderaan biasa yang ditunda sementara RM350 bagi pacuan empat roda.

Pemilik kenderaan yang ditunda boleh menuntut kenderaannya mengikut kawasan seperti di Depoh Tunda MBSA, Seksyen 17, Pejabat Cawangan Kota Kemuning MBSA, Seksyen 31 dan Depoh Tunda Pejabat Cawangan Sungai Buloh MBSA, Seksyen U20.

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan operasi, orang ramai boleh menghubungi Depoh Tunda, Bahagian Penguatkuasaan di talian 03-55416879.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.