Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 19 OKT: Sebanyak 383 burung gagak berjaya ditembak oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) baru-baru ini.
Unit Perancangan Korporat & Perhubungan Awam dalam kenyataan media memaklumkan aktiviti itu dilakukan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam dan Kelab Menembak Kajang ekoran aduan gangguan bau najis, bunyi dan najis burung yang bertaburan.
“Kehadiran burung gagak ini seringkali tertumpu di kawasan yang mempunyai sumber makanan seperti medan selera, tapak pembuangan sampah dan di kawasan teduhan seperti pokok rendang sebagai tempat pembiakan di kawasan Kajang.
“Burung gagak banyak memberi kesan buruk kepada manusia dan menjadi salah satu punca penularan wabak penyakit seperti selsema burung (H5N1), keracunan makanan (najis burung), pepijat, hama, dan penyakit yang boleh menyebabkan kematian.
“Selain itu, najis burung gagak juga mengandungi asid yang boleh merosakkan cat kenderaan,” katanya.
Sehubungan dengan itu, katanya, pihak jabatan bersetuju melantik Kelab Menembak Kajang menjalankan kerja menembak gagak di kawasan operasi Majlis Perbandaran Kajang sebagai kawalan daripada pembiakan yang tidak terkawal populasi burung gagak.
MPKj berharap dengan adanya aktiviti menembak gagak di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, dan Semenyih tahun ini dapat mengurangkan aduan gagak liar serta mengurangkan populasi di lokasi itu.
“Ia secara tidak langsung dapat menyekat dari penularan wabak penyakit. Aktiviti ini dijadikan sebagai aktiviti rutin jabatan bagi menangani masalah gagak liar di kawasan operasi MPKj setiap tahun,” katanya.
EZY