Categories
SELANGOR

Naik taraf jalan RM1.8 juta siap boleh diguna

Oleh: NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 9 OKT: Kemudahan infrastruktur di Jalan Subang Permai, Jalan Subang 2 dan Subang 3 kini boleh digunakan orang ramai selepas kerja menaiktaraf siap sepenuhnya.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata kos bagi kerja menaiktaraf itu berjumlah RM1.8 juta dilaksanakan Regina Development Sdn Bhd.

Hannah YeohAntara kemudahan dinaiktaraf adalah pembinaan jambatan menghubungi Jalan Subang 2 dengan Jalan Subang Permai, tambahan 13 lampu jalan di Jalan Subang 3 dan menaiktaraf lampu jalan di Jalan Sungai Permai.

Selain itu, menurap kembali jalan dari bulatan Jalan Subang 3 ke Persiaran Suban serta Jalan Subang Permai, pembinaan ‘handrail’ dan persiaran kaki di Jalan Subang Permai serta membaiki kerb di sepanjang Jalan Subang Permai dan Jalan Subang 3.

“Pembinaan jambatan ini dapat menjimatkan masa dan mengurangkan kesesakan terutamanya di waktu puncak. Pengguna boleh menggunakan jambatan yang menghubungkan jalan untuk terus keluar ke jalan raya berhampiran Pasaraya Mydin Mall dan Giant.

“Apabila adanya pembinaan perumahan, pemaju perlu menyediakan kemudahan infrastruktur lain seperti terkandung dalam kebenaran merancang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan jambatan itu, di sini.

Hannah berkata pembinaan dan naiktaraf itu juga penting kerana terdapat Laman Sukan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berhampiran.

“Sebuah kondominium dibina di kawasan ini. Oleh itu, saya berterima kasih kepada pemaju kerana memenuhi syarat ditetapkan MPSJ bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memberi kemudahan selesa kepada penduduk,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.