Categories
NASIONAL

Naik tol langgar slogan prinsip BN

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 OKT : Peningkatan kadar tol di beberapa lebuh raya mulai Khamis ini melanggar slogan dan prinsip ‘rakyat didahulukan’ yang gah dilaungkan Barisan Nasional (BN).

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata kerajaan tidak sensitif terhadap keluhan rakyat di sebalik situasi ekonomi yang semakin menekan.

ABIM RAIMI“ABIM mengambil berat perkembangan yang berlaku dan kerajaan seharusnya responsif kepada hasrat rakyat bahawa kenaikan kadar tol itu membebankan dan perlu dihentikan segera.

“Perkembangan ini amat mendukacitakan di saat ekonomi merudum, semua pihak perlu memainkan peranan menuntut supaya kenaikan tol tidak diteruskan,” katanya kepada Selangor Kini.

Raimi berkata, rakyat perlu terus memberi tekanan bagi memastikan kerajaan tidak mengambil tindakan sewenangnya membelakangkan kepentingan masyarakat.

“Kalau tekanan dan tuntutan rakyat kuat serta mempunyai asas kukuh, kerajaan tiada pilihan melainkan ambil pendekatan berbeza yang mendahulukan rakyat.

“Masanya sudah tiba untuk kerajaan mendengar rakyat dan kita kena terus berusaha untuk memastikan kadar tol tidak dinaikkan,” katanya.

Penyelarasan struktur kadar tol mulai 15 Oktober ini, menyaksikan peningkatan kadar tol di 11 lebuhraya.

Antaranya Lebuh Raya LATAR, Lebuh Raya Maju (MEX), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Plaza Tol Gombak dan Bentong di Lebuh Raya Kuala Lumpur–Karak (KLK), Lebuh Raya SILK, Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE).

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.