Categories
NASIONAL

Negara maju beri subsidi, Malaysia naik tambang bebankan rakyat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SEGAMBUT, 9 OKT: Pengerusi dan seluruh jawatankuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) patut meletak jawatan kerana lebih mengutamakan keuntungan syarikat konsesi pengendalian pengangkutan awam berbanding kepentingan rakyat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata ini terbukti sekiranya SPAD memutuskan menaikkan tambang Monorel dan Transit Aliran Ringan (LRT) dijangka pada hujung Oktober ini.

Nurul-IzzahKatanya, di negara barat seperti Jerman, England, Singapura dan negara yang menggunakan sistem seumpama ini secara prinsipnya kerajaan memberikan subsidi bagi meringankan bebanan rakyat dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

“Pada saya jika prinsip ini pun tidak dapat diterima, seluruh jawatankuasa SPAD kena letak jawatan. Apa rasional kita ada SPAD jika mereka tidak utamakan pengguna.

“Tugas mereka bukan tingkatkan kekayaan atau keuntungan bagi konsesi tetapi memastikan tumpuan indeks Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), iaitu meningkatkan kadar peratusan pengguna sistem pengangkutan awam darat,” kata Nurul Izzah kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Solat Hajat Untuk Kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kesejahteraan Negara di kediaman Anwar di Bukit Segambut, di sini, malam tadi.

Tambah Nurul Izzah lagi, sebelum ini lagi Pakatan Rakyat sudah mengingatkan supaya kerajaan mempraktikkan konsep harga berpatutan bagi menggalakkan penggunaan sistem pengangkutan awam dan sekaligus meringankan beban rakyat.

“Diharapkan bila masa ditetapkan itu nanti, tidak ada kenaikan sejajar dengan konsep menarik lebih ramai lagi orang untuk tidak gunakan pengangkutan persendirian tetapi pengangkutan awam,” kata Nurul Izzah.

Semalam, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar dalam kenyataannya berkata, SPAD akan mengumumkan pelarasan tambang LRT dan monorel pada hujung bulan ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.