Categories
SELANGOR

Orang ramai dinasihat berhati-hati beriadah di Sungai Chiling

Oleh: NORHAYATI UMOR

KUALA KUBU BAHRU, 19 OKT: Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi peraturan yang dibenarkan untuk ke air terjun kawasan Sungai Chiling bagi mengelakkan insiden terperangkap berulang.

Adunnya, Lee Kee Hiong berkata hal itu kerana sekiranya tidak diendah, pengunjung terdedah dengan lonjakan air deras serta hidupan liar pada sebelah malam.

“Pengunjung yang berada di kawasan itu perlu keluar sebelum jam 5 petang jika tidak mereka tersangkut di lintasan kerana air deras menyebabkan mereka tidak dapat keluar.

Sungai Chiling“Oleh kerana itu, kawasan itu hanya dibuka pada hari Jumaat hingga Ahad sahaja. Kawasan itu juga merbahaya pada waktu malam kerana ia merupakan kawasan hidupan habitat liar,” katanya kepada Selangor Kini.

Semalam, sekurang-kurangnya 12 lelaki dan dua wanita terperangkap dalam insiden lonjakan air ketika berada di kawasan Sungai Chiling itu.

Mereka dikatakan melakukan aktiviti mendaki bukit di lokasi itu ketika kejadian berlaku dan berjaya dikeluarkan pada jam 4 pagi tadi dengan menggunakan laluan alternatif ke lokasi mangsa.

Mengulas insiden itu, Kee Hiong berkata keadaan cuaca tidak menentu juga merupakan faktor kepala air berlaku.

Sungai Chiling“Kawasan terbabit juga tidak mudah untuk dimasuki pihak Bomba bagi kerja pencarian, oleh itu pengunjung perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut berharap sistem pengukuran jarak jauh (telemetri) yang mahu dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengesan kehadiran air deras dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Ia penting untuk orang ramai yang berada di bawah menyedari kehadiran kepala air seterusnya memberi amaran supaya pengunjung meninggalkan kawasan itu,” katanya.

Tahun lalu, seramai 80 pengunjung Santuari Kelah Sungai Chiling cemas apabila terperangkap lebih empat jam susulan arus air sungai menjadi deras secara mendadak.

Mereka mulanya dikatakan menyeberangi sungai itu ke kawasan di seberang sungai namun gagal berpatah balik apabila paras sungai menjadi semakin dalam dan deras.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.