Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 14 OKT: Gesaan pimpinan tertinggi Umno Barisan Nasional (BN) untuk bangkit menentang kepincangan kepimpinan perlu diberi perhatian serius bukan sekadar ahli Umno tetapi semua komponennya.
Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafie, berkata saranan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dilihat berkepentingan negara, bukan atas kepentingan masa depan dirinya.
“Pastinya beliau ada asas fakta yang kuat mengapa beliau berani menyarankan sedemikian rupa.
“Isu kepincangan IMDB (1Malaysia Development Bhd) contohnya membuka mata ramai pihak dalam dan luar negara dan ia sangat menjolok mata ahli ahli Umno. Pastinya mereka malu tetapi keberanian menegur kepimpinan curang tidak ada dalam diri sebahagian besar mereka.
“Semoga keberanian Muhyiddin menyuarakan isi hatinya diberi perhatian yang lebih kali ini,” katanya kepada Selangor Kini.
Terdahulu, Muhyiddin menyertai sidang media bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal menggesa ahli Umno bangkit menentang kepincangan kepimpinan parti.
Mengulas lanjut, Shuhaimi yang juga Adun Seri Muda menyeru rakyat tanpa pegangan politik bangkit menentang penyelewengan demi menyelamatkan ekonomi negara serta memulihkan keyakinan pelabur luar.
“Tindakan ini diyakini membantu menstabilkan matawang negara seterusnya memulihkan kembali nilai ringgit untuk bersaing dengan matawang lain,” katanya.
EZY