Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 12 OKT: Tapak premis perniagaan milik penduduk di Pulau Ketam perlu diberikan Lesen Penempatan Sementara (TOL) seperti penempatan mereka.
Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali, berkata hal itu kerana TOL yang akan dikeluarkan Kerajaan Negeri itu hanya merangkumi kawasan tempat tinggal mereka sahaja.
“Kebimbangan ini disuarakan penduduk. Mereka mahu premis perniagaan mereka juga diberikan TOL.
“Hal itu kerana kebanyakan premis perniagaan mereka dilakukan bersebelahan atau berdekatan penempatan penduduk,” katanya kepada SelangorKini.
Dr Halimah berkata, isu pemilikan tanah di kawasan itu sudah dibangkitkan sejak dahulu, namun inisiatif memberikan TOL baru dilihat selepas Kerajaan Negeri bertukar tangan.
“Sebelum ini, penduduk mahu TOL diberikan untuk tapak rumah. Namun, pernigaan tidak dimasukkan sekali dalam TOL terbabit.
“Jadi, mereka berharap premis pernigaan turut diberikan TOL membabitkan pertimbangan keluasan yang diperoleh sebelum ini,” katanya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berikrar akan melihat isu pemberian TOL kepada 1,300 penghuni Pulau Ketam dan mahu memperbesarkan jeti sedia ada.
Walaupun populasi penduduk pernah mencapai kira-kira 20,000 pada pertengahan 1980an, kini penghuni Pulau Ketam hanya terdiri daripada 1,300 keluarga yang majoritinya berbangsa Cina berketurunan Teochew, Hainan dan Hokkien.
-NFN-