Categories
SELANGOR

Pengunjung Pesta Tanglung bersyukur miliki kerajaan tolak perkauman

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PANDAN, 5 OKT: Pengunjung Sambutan Pesta Tanglung peringkat DUN Chempaka malam tadi melahirkan rasa lega dan bersyukur apabila Selangor diterajui kerajaan yang tegas menolak politik perkauman.

Hal ini berbeza dengan pemimpin Kerajaan Persekutuan yang bercakap mengenai perpaduan kaum namun pada masa sama mempromosikan sentimen perkauman sebagai senjata politik mempertahankan sisa kuasa yang ada.

Pesta Tanglung“Langkah Kerajaan Selangor tolak perkauman tindakan betul kerana kita ada pelbagai kaum, jadi macam mana kita nak hidup bersama, nak maju, kalau tiada persefahaman dan tidak kenal mengenali?

“Contohnya Pesta Tanglung ini, kita dapat kenal antara satu sama lain tak kira Melayu, Cina atau India dan ini patut diteruskan,” kata Juruteknik Swasta, Marcus, 32, kepada Selangor Kini.

Pekerja swasta, Suhaini Shamsuddin, 41, pula memberitahu, Pesta Tanglung yang menjadi acara tahunan di DUN Chempaka ini menjadi platform mengenali lebih dekat budaya antara kaum.

“Program seperti ini boleh mendekatkan kita untuk lebih mengenali budaya orang Cina dan mereka juga dapat mengenali budaya kita dalam program seperti Hari Raya dan begitu juga dengan sambutan Deepavali bagi orang India,” kata Suhaini.

Sementara itu, Penjaga Stor, Solairajah Mani, 36, pula berkata, program seperti itu mampu menyemai semangat bertoleransi antara kaum.

Pesta Tanglong“Bila kita dah kenal, baru jadi kawan dan menyebabkan kita lebih mudah bertolak ansur.

“Kenal itu bukan bermakna kita tahu nama dia tetapi yang penting kita tahu mereka tidak musuhi kita kerana warna kulit kita,” kata Solairajah.

Pesta Tanglung Peringkat DUN Chempaka yang mula diadakan sejak 2008 menjadi salah satu acara tahunan di DUN itu.

Adun Chempaka, Datuk Iskandar Abdul Samad menganggarkan kira-kira 1,000 hadirin memeriahkan program yang diadakan di Taman Pandan Jaya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.