Categories
NASIONAL

Perbelanjaan mengurus 80.53% , meningkat lagi bawah Najib

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Sama seperti tahun sebelumnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kekal memperuntukkan perbelanjaan pengurusan tinggi walaupun negara dijangka terus berdepan keadaan ekonomi getir tahun hadapan.

Najib ketika membentangkan Belanjawan 2016 hari ini berkata, kerajaan memperuntukan RM215.2 bilion atau 80.53 peratus daripada jumlah perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM267.2 bilion.

BAJET 2016Sementara bagi perbelanjaan pembangunan pula, kerajaan hanya memperuntukkan RM52 bilion atau 19.47 peratus.

“Bajet 2016 memperuntukkan RM267.2 bilion berbanding RM260.7 bilion peruntukan dipinda pada 2015,” kata Najib ketika membentangkan Belanjawan 2016 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, di bawah perbelanjaan mengurus, kerajaan memperuntukkan RM70.5 bilion untuk emolumen, perkhidmatan dan bekalan (RM36.3 bilion) , Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap (RM106.6 bilion) , pemberian aset (RM761 juta) dan baki RM1 bilion lagi untuk perbelanjaan lain.

Sementara di bawah peruntukan pembangunan, kerajaan memperuntukkan RM30.1 bilion untuk sektor ekonomi dan RM13.1 bilion untuk sektor sosial merangkumi pendidikan dan latihan, kesihatan dan perumahan serta kesejahteraan masyarakat.

Sektor keselamatan pula menerima peruntukan perbelanjaan RM5.2 bilion, RM1.6 bilion diagihkan untuk sektor pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

-nR-

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.