Categories
NASIONAL

Mampukah bajet 2016 pacu negara saat ekonomi getir?

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 23 OKT : Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, Dr Fahmi Ngah khuatir peruntukan perbelanjaan pembangunan kecil tidak mampu memacu ekonomi negara yang dijangka berdepan situasi getir tahun hadapan.

Dalam Bajet Persekutuan 2016 yang dibentangkan hari ini, Perdana Menteri Najib Tun Razak mengumumkan perbelanjaan pembangunan bagi 2016 hanya RM52 bilion iaitu RM1.5 bilion lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Sementara perbelanjaan mengurus pula menelan 80.53 peratus dari keseluruhan belanjawan bersamaan RM215.2 bilion.

Dr Fahmi Ngah“Perbelanjaan pembangunan hanya naik RM1.5 bilion bagi 2016 berbanding 2015.

“Bagi tahun yang penuh mencabar, hanya itu untuk pembangunan ekonomi?” soal Dr Fahmi dalam reaksi awal beliau kepada Bajet 2016 tadi.

Secara asasnya, perbelanjaan pengurusan melibatkan peruntukan untuk penggajian dan keselamatan sosial kakitangan; penyelenggaraan dan operasi seperti perjalanan, utiliti, sewa serta bekalan; dan subsidi.

Selangor mengambil pendekatan berbeza dengan mengutamakan peruntukan pembangunan untuk menjana pengukuhan aktiviti ekonomi.

Dr Fahmi berkata, Kerajaan Persekutuan sewajarnya mengambil inisiatif menarik pelabur ke negara ini melalui langkah-langkah khusus dan reformasi urustadbir.

“Tiada insentif spesifik memulihkan keyakinan pelabur yang saban hari mencurigai peluang berlabur di dalam negara.

“Tiada penambahbaikan tatakelola kecuali penambahan jumlah anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” kata beliau.

Dr Fahmi turut mengingatkan orang supaya tidak terpedaya dengan saguhati Kerajaan Persekutuan kerana ia datang dari hasil kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan ke atas rakyat.

“Pendapatan hilang daripada petroleum dianggar RM30 bilion akan ditampung dgn GST berjumlah Rm39 bilion.

“Jadi, yang selamatkan negara adalah rakyat bukannya kerajaan,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.