Categories
SELANGOR

Peruntukan bela nasib pembeli projek ‘sakit’ dijangka tertinggi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PANDAN, 6 OKT: Kerajaan Negeri dijangka menyediakan peruntukan tinggi dalam Belanjawan 2016 bagi membantu pembeli projek perumahan terbengkalai memiliki kediaman mereka.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata peruntukan itu disalurkan melalui Tabung Pemulihan Perumahan Terbengkalai (TEPAT) bagi membaik pulih projek perumahan terbengkalai.

“Kita tambah lagi peruntukan TEPAT dengan penambahan RM20 juta lagi untuk 2016 bagi memastikan lebih banyak projek terbengkalai dapat dibaik pulih.

“Ini kerana, banyak kes pembeli rumah terpaksa menanggung sendiri kerja pemulihan rumah terbengkalai yang dibelinya. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia menganiaya dan membebankan pembeli terlibat,” katanya.

Selangor-Rumah-TerbengkalaiIskandar berkata demikian kepada Selangor Kini pada Sambutan Pesta Tanglung peringkat DUN Chempaka di Pandan Jaya, di sini pada 4 Oktober lalu.

Pada pembentangan Belanjawan 2015 lalu, Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohammed Azmin Ali mengumumkan penubuhan TEPAT dengan dana RM20 juta dalam usaha Kerajaan Negeri membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman mereka yang terbengkalai.

Projek-TerbengkalaiLangkah ini diambil berikutan lazimnya tiada pemaju mahu menyelamatkan projek kos rendah yang terbengkalai kerana memerlukan suntikan dana tinggi sekaligus menyebabkan para pembeli teraniaya.

Sehingga kini, TEPAT berjaya memulihkan 55 projek terbengkalai dan dianggap pencapaian terbaik memandangkan projek sakit terbabit mengalami defisit.

Antaranya membabitkan projek perumahan Rimau Indah, Taman Desa Mawar, Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor dan beberapa projek lain.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.