Categories
AGENDA NASIONAL

Jawatankuasa pemulihan tangani projek rumah terbengkalai

SHAH ALAM, 27 OGOS:  Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif untuk menangani isu 111 projek terbengkalai melibatkan 15,010 unit rumah yang belum mempunyai kontraktor atau pemaju penyelamat.

EXCO Perumahan berkata projek itu dipantau Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan Jawatankuasa Kecil Pemulihan  Projek Terbengkalai Pihak Berkuasa Tempatan.

“Kerajaan Negeri bertindak sebagai fasilitator dalam usaha memulih atau menyelesaikan isu projek terbengkalai walaupun bidang kuasa pihaknya terhad.

“Antara tindakan yang diambil adalah mengadakan rundingan dengan pembeli rumah, pemilik tanah, tuan tanah, pemaju asal, Jabatan Insolvensi secara berkala bertujuan mencari kaedah penyelesaian terbaik.

“Perbincangan dengan semua jabatan teknikal juga diambil bagi mempercepatkan pemulihan projek dengan mengenakan syarat minima serta kos tambahan kecil tanpa mengabaikan isu keselamatan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan wakil rakyat Kuala Kubu Baharu, Lee Kee Hiong mengenai isu projek perumahan terbengkalai.

Rodziah dalam pada itu memaklumkan daripada 111 projek bermasalah, daerah Klang merekod 39 projek membabitkan 4,392 unit.

“Daerah Petaling pula lima projek membabitkan 299 unit, Gombak pula 11 projek (3,066 unit), Hulu Langat 13 projek (3,303 unit) dan Sepang sembilan projek (256 unit).

“Kuala Langat pula sebanyak 20 projek (752 unit), Kuala Selangor empat (140 unit), Hulu Selangor sembilan (2,772) dan Sabak Bernam satu (30 unit),” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Projek rumah terbengkalai akibat PKP dipantau

BATU CAVES, 27 JUN: Selangor memantau rapat semua projek perumahan terbengkalai di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebahagian projek tertangguh disebabkan pemaju berdepan tekanan akibat perintah kawalan.

“Kita juga akan melihat sama ada terdapat kesan tambahan kepada jumlah projek perumahan terbengkalai selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan).

“Ini kerana selepas PKP mungkin ada beberapa projek yang tidak boleh bertahan disebabkan pemaju berdepan tekanan kuat. Namun, kita berharap Lembaga Perumahan Hartanah Selangor dan EXCO berkaitan dapat meneliti hal ini,” katanya selepas penyerahan surat tawaran Pangsapuri Selangorku Seri Temenggong di tapak projek berkenaan hari ini.

Pada 14 Februari lalu, media melaporkan 159 projek perumahan terbengkalai di Selangor membabitkan 32,755 unit rumah yang dikenal pasti dibina pada awal 90-an.

Pada 2009, Kerajaan Selangor mewujudkan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai Selangor serta mewujudkan pangkalan data berkenaan projek tersebut.

Categories
EXCO SELANGOR

Kerajaan Selangor komited atasi projek rumah terbengkalai

AMPANG, 1 MAC: Kerajaan Negeri sedia menjadi pemudah cara bagi pemaju perumahan yang berminat mengambil alih projek perumahan terbengkalai, kata EXCO perumahan.

Haniza berkata sebanyak 180 projek perumahan yang dibina sebelum 2007 masih terbengkalai sehingga sekarang dan pihaknya terbuka untuk berunding bagi membangun semula projek terbabit demi keadilan kepada pembeli.

“Kuasa kerajaan negeri untuk menghidupkan semula projek terbengkalai di negeri ini agak terbatas kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Namun seperti ditegaskan Kerajaan Negeri akan cuba memudahkan segala urusan kerana perkara ini melibatkan nasib pembeli yang telah menunggu sejak berbelas atau berpuluh tahun luntuk memiliki rumah,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sijil Kelayakan Menduduki dan Kunci Rumah Projek Perumahan Estana Court Blok B, Hulu Kelang di sini hari ini.

Haniza berkata Kerajaan Negeri komited mencari mekanisme terbaik bagi memastikan isu projek perumahan terbengkalai dapat diatasi.

Categories
SELANGOR

RM18 juta diperuntuk baik pulih rumah terbengkalai

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 29 NOV: Sebanyak RM18 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (TEPAT) untuk membantu memulihkan projek terbengkalai di negeri.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, bagaimanapun peruntukan terbabit hanya tertakluk kepada projek tanpa lesen dan juga di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Katanya, setakat ini terdapat tiga projek rumah terbengkalai sedang diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.

“Ia termasuk di Permatang, Kuala Selangor, Projek Melayu Rasa dan Sungai Chong, yang kedua-duanya terletak di Kuala Kubu Bharu.

“Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri melantik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai perunding pengurusan projek untuk menjalankan kerja baik pulih,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Haniza berkata, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut turun padang ke tapak perumahan terbengkalai yang terletak di Hulu Selangor.

Pada September lalu, Amirudin melalui Program Jelajah Maju Bersama turun padang ke Kampung Melayu Rasa, Kuala Kubu Bharu bagi mendengar permasalahan penduduk yang menderita hampir 20 tahun lamanya akibat projek perumahan terbengkalai.

Justeru, Kerajaan Negeri bersetuju untuk membantu penduduk kampung berkenaan daripada segi infrastruktur dengan kos membabitkan RM4 juta.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor cadang KPKT beri insentif kepada pemaju penyelamat

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dicadangkan supaya memberikan insentif kepada pemaju penyelamat yang bersedia menyelesaikan pembangunan projek terbengkalai.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, kebanyakan projek terbengkalai yang berlaku khususnya di Selangor menyaksikan pemaju awal sudah memperoleh keuntungan, namun mengambil tindakan meninggalkan projek sedia ada, termasuk pembinaan rumah kos rendah.

“Saya meminta kementerian memberikan insentif kepada pemaju penyelamat supaya menyiapkan projek terbengkalai dan tidak menanggung kerugian.

“Ini kerana ada projek terbengkalai yang sudah siap 90 peratus, justeru dengan pemberian instentif ini, ia dapat menggalakkan pemaju penyelamat tampil menyiapkan projek.

“Harus diingat, projek terbengkalai yang berjaya disiapkan dapat memberikan tambahan unit kepada pasaran, sekali gus membolehkan orang ramai memiliki rumah,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, sebanyak 106 projek terbengkalai direkodkan di Selangor membabitkan perumahan, komersial, industri dan pembesaran kampung.

Haniza berkata, 91 daripada jumlah itu membabitkan projek perumahan, sehingga April lalu.

“Punca kuasa ada pada KPKT, kita (Kerajaan Negeri) sebagai pemudahcara. Undang-undang yang tegas diperlukan bagi mengelakkan projek terbengkalai berleluasa,” katanya.

Categories
SELANGOR

Umno-BN lebih sebelahi pemaju punca ramai rakyat tertindas

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 11 FEB: Sikap Kerajaan Umno-Barisan Nasional yang gemar menyebelahi syarikat pemaju perumahan menjadi antara faktor semakin rakyat tertindas.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, masalah projek rumah terbengkalai selama 20 tahun seperti dihadapi peneroka Bukit Cherakah pasti dapat diselesaikan lebih awal jika kerajaan terdahulu mengambil serius terhadap penderitaan ditanggung rakyat.

“Ini membuktikan kalau kerajaan itu peduli rakyat, bertanggungjawab dan berintegriti, bukan sahaja memajukan negeri tetapi akan mengangkat umat rakyat Selangor.

“Namun kenapa tuan-tuan terpaksa menunggu sehingga 20 tahun? Jawapannya pentadbiran sebelum ini tidak peduli rakyat, tidak mengambil berat masalah rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pemilikan Rumah Antara Peserta dengan Syarikat Pemaju Paragon Pinnacle Sdn Bhd di Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Jelasnya, beliau bersyukur kerana berjaya menyelesaikan masalah dihadapi peneroka terbabit dalam tempoh dua tahun selepas mula menduduki jawatan Dato’ Menteri Besar Selangor.

Katanya, usaha seperti dijalankan Kerajaan Negeri ini sepatutnya turut menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan dan bukannya untuk memancing undi dalam pilihan raya.

Terdahulu, selepas 20 tahun menunggu seramai 980 peneroka Bukit Cherakah menandatangani perjanjian pemilikan perumahan bernilai RM250,000.

Peserta terbabit juga sudah menerima keseluruhan bayaran pampasan tunai berjumlah RM180,000 pada 2016 lalu.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Peruntukan bela nasib pembeli projek ‘sakit’ dijangka tertinggi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PANDAN, 6 OKT: Kerajaan Negeri dijangka menyediakan peruntukan tinggi dalam Belanjawan 2016 bagi membantu pembeli projek perumahan terbengkalai memiliki kediaman mereka.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata peruntukan itu disalurkan melalui Tabung Pemulihan Perumahan Terbengkalai (TEPAT) bagi membaik pulih projek perumahan terbengkalai.

“Kita tambah lagi peruntukan TEPAT dengan penambahan RM20 juta lagi untuk 2016 bagi memastikan lebih banyak projek terbengkalai dapat dibaik pulih.

“Ini kerana, banyak kes pembeli rumah terpaksa menanggung sendiri kerja pemulihan rumah terbengkalai yang dibelinya. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia menganiaya dan membebankan pembeli terlibat,” katanya.

Selangor-Rumah-TerbengkalaiIskandar berkata demikian kepada Selangor Kini pada Sambutan Pesta Tanglung peringkat DUN Chempaka di Pandan Jaya, di sini pada 4 Oktober lalu.

Pada pembentangan Belanjawan 2015 lalu, Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohammed Azmin Ali mengumumkan penubuhan TEPAT dengan dana RM20 juta dalam usaha Kerajaan Negeri membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman mereka yang terbengkalai.

Projek-TerbengkalaiLangkah ini diambil berikutan lazimnya tiada pemaju mahu menyelamatkan projek kos rendah yang terbengkalai kerana memerlukan suntikan dana tinggi sekaligus menyebabkan para pembeli teraniaya.

Sehingga kini, TEPAT berjaya memulihkan 55 projek terbengkalai dan dianggap pencapaian terbaik memandangkan projek sakit terbabit mengalami defisit.

Antaranya membabitkan projek perumahan Rimau Indah, Taman Desa Mawar, Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor dan beberapa projek lain.

-NR-

Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: Jangan takut minta nasihat guaman

Kurang kesedaran dan enggan mendapatkan nasihat guaman sebelum membuat keputusan membeli  aset hartanah mengakibatkan pembeli mudah menjadi mangsa penipuan pemaju rakus sehingga mengakibatkan mereka berdepan kerugian berpanjangan.

Ikuti temubual esklusif wartawan Selangor Kini, AFIX REDZUAN bersama peguam hartanah berpengalaman Salkukhairi Abd Sukor dari Tetuan Alda Shukri Khairi & Associates.

Sepanjang mengendalikan kes guaman, apa masalah yang dilihat berdasarkan aduan mangsa penipuan sehingga membawa mereka mengambil tindakan perundangan?

Kalau nak tengok memang banyak aduan masyarakat khususnya berkaitan projek perumahan yang dibeli sekitar pertengah tahun 1990an sehingga awal tahun 2000. Selepas tahun 2002 hingga 2003 kes berkenaan semakin berkurangan.

Masalahnya, adakala boleh kita katakan berpunca daripada pembeli sendiri yang kurang prihatin dan cakna seperti dalam perihal memilih pemaju untuk membeli sesebuah rumah.

rumahSaya tengok berdasarkan aduan diterima, kebanyakannya tidak mempunyai rekod pencapaian lepas (track record) yang baik. Banyak transaksi di peringkat awal boleh dipertikai atau meragukan.

Apabila sesebuah projek itu sudah berjalan sekitar 40 peratus, ketika itu baru nampak identiti sebenar pemaju. Ada kes memang dari awal pemaju sudah merancang tidak menyiapkan projek dan lari selepas mendapat keuntungan disasarkan.

Selain daripada pemaju, pembeli sendiri kena mengambil tindakan beringat dan berhati-hati sebelum menandatangani sesuatu perjanjian jual beli.

Mengikut makluman, kebanyakan kes berlaku sekitar tahun 1990an hingga 2000. Adakah faktor kegawatan ekonomi ketika itu menjadi punca ramai pemaju gulung tikar selain merancang mengaut untung secara tidak sah?

Saya rasa faktor kegawatan ekonomi ketika itu bukan punca 100 peratus berlakunya projek terbengkalai tetapi mungkin sebahagian daripadanya.

Projek terbengkalai ini kebanyakkannya disebabkan faktor pemaju selain permintaan terlalu banyak sedangkan syarikat pemaju yang boleh melaksanakannya tidak mampu memenuhi keperluan ketika itu ekoran kegawatan ekonomi.

Kita perlu faham, untuk membangunkan satu projek perumahan memerlukan modal besar dan rekod pengalaman yang luas. Bukan hari ini kita tubuhkan syarikat perumahan, esok lusa projek boleh siap dengan sempurna. Ia bergantung kepada perancangan kewangan syarikat dan pengalaman sebelum itu.

Tidak dinafikan, mungkin serba sedikit pengaruh kegawatan ekonomi ketika itu mengakibatkan banyak projek terbengkalai tetapi ada projek perumahan yang berjaya disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Daripada pengalaman mengendalikan kes perumahan, bila pembeli menyedari mereka sebenarnya sudah ditipu pemaju?

GAMBAR PROFILE SALKUKHAIRIMelalui pengalaman 13 tahun sebagai peguam, pembeli rumah terbengkalai biasanya hanya dapat mengenalpasti dalam tempoh yang lewat selepas beberapa peringkat pertemuan dengan pemaju.

Selepas itu, mereka baru memikirkan solusi antaranya bertemu peguam dan penasihat perundangan sebelum membuat tindakan undang-undang.

Proses perundangan sudah sedikit terlewat kerana sebelum itu mereka mungkin hanya membuat perbincangan dalaman seperti bertemu pemaju, namun tiada jalan penyelesaian.

Kebanyakan pembeli kurang membuat rujukan kepada pihak guaman sebelum membuat keputusan membeli sebuah rumah. Komen?

Pandangan saya, sebaik-baiknya minta nasihat guaman telebih dahulu sebab dalam satu transaksi jual beli hartanah banyak perkara perlu kita tahu sebelum bersetuju membelinya.

Pertama, kita kena siasat syarikat pemaju dengan menyemak latar belakang seperti siapa di belakangnya, berapa jumlah modal berbayar dan projek yang berjaya disiapkan.

Sebagai pembeli, mereka perlu mengambil tindakan untuk menyiasat terlebih dahulu dengan merujuk pihak berwajib seperti Kementerian Perumahan. Apablia pembeli menyiasat dan merujuk pihak berkenaan, mereka sebenarnya mengurangkan risiko menjadi mangsa pemaju yang tidak berkelayakan.

Kedua, pembeli juga kena mendapatkan dengan merujuk kepada peguam berkecuali dan tidak hanya tertumpu kepada peguam pemaju sahaja. Tiada masalah dan perkara itu boleh dibuat sebagai langkah awal untuk berjaga-jaga, sekali gus mengurangkan risiko menjadi mangsa projek terbengkalai.

Selepas tahun 2000 adakah modus operandi penipuan masih sama atau sudah berubah?

Selepas tahun 2002 hingga 2003, projek perumahan terbengkalai semakin berkurang kerana saya fikir beberapa peruntukan perundangan dipinda terhadap Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966. Akta ini adalah satu-satunya akta berkaitan dengan urusan pemajuan hartanah atau projek perumahan di Malaysia.

Selangor-Rumah-TerbengkalaiSebelum tahun 2002, salah satu faktor yang saya fikirkan berlakunya projek terbengkalai kerana undang-undang tidak ketat dan tegas apabila tiada satu badan bertanggungjawab mengawal selia pemaju perumahan.

Selepas pindaan dibuat, pemaju perlu mendapatkan lesen pemajuan perumahan. Jika ingin mengiklankan projek perumahan yang dibuat, mereka perlu mendapatkan permit iklan dan jualan daripada Kementerian Perumahan.

Untuk mendapatkan lesen, pemaju perlu mendepositkan wang berjumlah RM250,000 pada ketika itu. Namun selepas pindaan, pemaju perlu mendepositkan tiga peratus daripada nilaian projek.

Sebagai contoh jika nilaian projek RM10 juta, tiga peratus berkenaan perlu dibayar kepada Kementerian Perumaan sebagai deposit jaminan dan baru lesen dikeluarkan.

Setiap enam bulan, pemaju juga perlu menghantar laporan kemajuan projek kepada kementerian dan penyata akaun (housing development account) untk diaudit setiap tahun. Ini untuk melindungi hak pembeli supaya hanya pemaju berkelayakan dan mampu dari segi kewangan serta pengurusan sahaja diberikan lesen.

Apakah pindaan akta terbaru untuk melindungi hak pembeli supaya tidak menjadi mangsa projek terbengkalai?

Kebanyakan kes yang saya kendalikan adalah yang bermasalah pada tahun 1990an dan awal tahun 2000.

Pindaan terkini Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 (Pindaan 2012) menyediakan peruntukan khusus untuk rumah terbengkalai yang menyatakan jika pemaju gagal atau dengan sengaja atau enggan meneruskan sesuatu projek perumahan dalam tempoh masa enam bulan secara berterusan atau lebih daripada tarikh perjanjian jual beli dengan syarat pembeli mendapat persetujuan bertulis daripada bank dan dipersetujui kementerian maka pembeli boleh menamatkan perjanjian jual beli.

Rumah Bukit BotakSebelum ini, tiada peruntukan dan pembeli tiada hak menamatkan perjanjian, sekali gus menyaksikan mereka terpaksa meneruskan pembayaran pinjaman bank sedangkan rumah tidak disiapkan.

Dengan adanya pindaan ini, pemaju boleh membatalkan perjanjian jual beli dan jika terbatal, pemaju perlu mengembalikan semua bayaran dalam tempoh 30 hari daripada tarikh penamatan perjanjian.

Jika gagal dan pemaju didapati bersalah, mereka boleh didakwa dan sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih RM250,000.

Sementara itu, pihak pengurusan juga boleh didenda tidak melebihi RM5,000 untuk setiap hari jika kesalahan masih berlaku. Kita kena ingat, ini adalah kesalahan jenayah bukan sivil dan kerajaan sendiri akan mendakwa pemaju. Pindaan itu menyaksikan pemaju yang ingin melakukan jenayah berkurangan kerana peruntukan perundangan sedia ada diketatkan.

Adakah ketakutan terhadap kos guaman menyebabkan pembeli menjadikan tindakan perundangan dan meminta nasihat guaman sebagai jalan terakhir?

Mungkin juga, namun perkara itu tidak harus dijadikan isu kerana ada sesetengah peguam tidak mengenakan bayaran jika kita merujuk atau meminta pandangan.

Pembeli sebenarnya boleh merujuk kepada pihak berwajib seperti Biro Bantuan Guaman untuk mendapatkan nasihat peguam dan Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Saya fikir, faktor kos itu bukan alasan untuk pembeli tidak merujuk kepada peguam kerana kalau ikut prinsip perundangan ia demi menegakkan keadilan tanpa mengira keadaan.

Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: 55 projek terbengkalai dibaik pulih

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 MEI: Kerajaan Negeri menyelesaikan 55 projek terbengkalai daripada keseluruhan 262 projek melibatkan 27,234 unit, antara Mac 2008 hingga 31 Januari lalu.

Penolong Pengarah (Unit Pemantauan Projek), Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Mohd Faizal Abd Kadir berkata, projek yang diselesaikan itu ada berlesen dan tidak berlesen.

Beliau berkata, sebanyak 31 projek berlesen melibatkan 17,489 unit diikuti 24 projek tanpa lesen 9,745 unit.

Selangor-Rumah-TerbengkalaiLima projek disiapkan pada 2014 melibatkan 3,596 unit daripada jumlah projek berlesen yang diselesaikan.

“Antara projek itu ialah Nusa Mewah Villa Kondominium, Bukit Pandan, Ampang dalam seliaan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Taman Kajang Villa, Hulu Langat dalam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Taman Kenanga, Dengkil, Sepang (MPSp).

“Dua projek lagi ialah pangsapuri Lengkungan Kampung Nelayan, Taman Sri Nelayan, Klang dalam Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan pangsapuri Bandar Baru Kundang, Rawang di Majlis Perbandaran Selayang (MPS),” katanya kepada Selangor Kini.

Sementara itu, Projek Angsana Hilir, Pangsapuri Blok D, Taman Sri Angsana, Ampang melibatkan 165 unit disiapkan, awal tahun ini.

Bagi projek tidak berlesen, tiga projek disiapkan pada 2014 manakala satu projek yang melibatkan 1,529 unit siap awal tahun ini.

PECAHAN 55 PROJEK TERBENGKALAI YANG DIBAIK PULIH

Kategori Jumlah projek Unit
Projek berlesen 31 17,489
Projek tanpa lesen 24 9,745

Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: FOMCA gesa teliti rekod pemaju

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 MEI: Pembeli diingatkan supaya membuat penelitian terbaik dibuat sebelum memutuskan untuk memmbeli aset hartanah terutama rumah kediaman.

Ia penting bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa projek terbengkalai yang akhirnya mengakibatkan mereka menanggung kerugian berpanjangan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pengguna perlu memastikan pemaju memiliki rekod baik supaya tidak tertipu.

FOMCA“Pengguna kena berhati-hati dan pastikan projek itu berlesen atau tidak. Kedua, kena pastikan projek itu wujud kerana sesetengah pengguna tidak membuat pemeriksaan.

“Paling penting, pengguna perlu memilih pemaju yang ada pencapaian rekod baik,” katanya kepada Selangor Kini.

Mohd Yusof berkata, jumlah mangsa yang menjadi kerakusan pemaju berkurangan kerana pelaksanaan undang-undang lebih ketat berbanding sebelum ini.

Namun, katanya Fomca berharap undang-undang sedia ada ditambah baik bagi mengelakkan berlakunya projek terbengkalai pada masa hadapan.

Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: Beli ketika anak kecil, masih tak siap sampai anak SPM

Oleh: AFIX RIDZUAN

SHAH ALAM, 8 MEI: Pembeli rumah projek terbengkalai kesal atas kegagalan pemaju menyiapkan kediaman hingga terbiar usang tanpa pembelaan sejak 1997.

Dikenali sebagai ‘Cikgu Teraniaya’, beliau berkata, projek Taman Lembah Beringin jenis Heart fasa dua itu patut siap pada 1999 dan boleh diduduki sekitar 2000 tetapi hampa.

Beliau sehingga kini terpaksa meneruskan bayaran bulanan berjumlah lebih RM400 melalui potongan gaji atas rumah yang dibeli pada harga sekitar RM99,000.

rumahProjek berkenaan mula terbengkalai selepas 50 peratus pembinaannya siap.

“Ia mula dibina sejak anak saya kecil dalam pantang sampailah dia ambil SPM.

“Saya ambil pinjaman kerajaan dan potongan gaji masih dibuat bagi bayaran berperingkat 50 peratus (siap) yang dibayar kepada pemaju.

“Dulu, bayar lebih RM600 sebulan tetapi dikurangkan sekitar RM400 lebih selepas dapat pelepasan faedah,” katanya yang mengajar di Kedah ketika projek itu mula terbengkalai.

Katanya, pertemuan dengan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dibuat sekitar 2002 tetapi tiada kata putus berikutan cuma dapat persetujuan 75 peratus pembeli untuk ia dipulihkan.

“Saya tertanya-tanya, adakah projek terbengkalai di Lembah Beringin termasuk salah satu senarai projek yang akan dipulihkan?

“Saya berharap tindakan mantap bagi membela nasib pembeli yang dizalimi pemaju tidak bertanggungjawab dapat diambil kerajaan baik persekutuan atau negeri,” katanya.

Selangor-Rumah-TerbengkalaiSeorang lagi pembeli mengakui tertipu berikutan pemaju projek menjualnya pada harga rendah sebelum pemilik sebenar menuntut haknya kembali.

Dikenali sebagai Nahar, beliau tidak menyangka banglo satu tingkat di Taman Desa Teratai, Teluk Gong, Pelabuhan Klang sebenarnya milik orang lain.

“Pada 2007, saya nampak pemaju naikkan papan tanda menunjukkan rumah tidak terjual.

“Kemudian, kami dibawa melawat wakil pemaju dengan keadaan rumah yang tidak sempurna. Tiada tingkap, tiada pagar dan siling roboh.

“Saya beli kerana harga dikurang dari RM160,000 kepada RM106,000 bersesuaian dengan keadaan rumah. Semuanya lancar selepas bayar deposit RM4,000.

“Rumah itu pinjaman penuh 100 peratus dan saya keluarkan simpanan KWSP RM40,000 untuk baik pulih bahagian rosak,” katanya.

Namun, katanya seorang individu muncul membawa perjanjian yang membuktikannya sebagai pemilik rumah sebenar pada 2009.

Beliau pernah membawa masalah itu kepada SPNB pada 2010 tetapi dimaklumkan pemaju itu tidak ada lesen.

Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: Perketat peraturan, elak pemaju kaut keuntungan salah

SHAH ALAM, 8 MEI: Pembentukan jawatankuasa khas untuk menyelesaikan masalah projek terbengkalai yang dipelopori Kerajaan Selangor dicontohi Kerajaan Persekutuan.

“Hasil inisiatif Kerajaan Negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengikuti jejak kita menubuhkan jawatankuasa sama untuk selesaikan isu itu,” kata Adun Rawang, Gan Pei Nei.

Gan Pei NeiBeliau juga meminta Kerajaan Persekutuan mengetatkan peraturan supaya pemaju perumahan tidak mudah mengaut keuntungan melalui penipuan projek yang tidak wujud.

Katanya, projek terbengkalai ada di mana-mana termasuk di Rawan iaitu di Taman Perindustrian Hijau Rawang yang gagal disiapkan sejak 2008.

“Selepas buat desakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, projek melibatkan pangsapuri kos rendah itu siap dan diduduki pada 2012,” katanya.

Sementara itu, Adun BN berharap Kerajaan Selangor tadbiran Pakatan Rakyat mampu menyelesaikan masalah projek perumahan yang terbengkalai yang berlaku sebelum pengambilalihan kuasa berlaku.

Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak berkata, harapan itu tinggi kerana pembeli akan menanggung kerugian jika gagal mendudukinya.

Katanya, bebanan potongan gaji ditambah bayaran rumah sewa menjadikan keadaan lebih rumit bagi pembeli berpendapatan rendah dan sederhana.

sulaiman abdul razak“Rumah yang dibeli mula dibayar dengan potongan gaji tetapi tidak dapat mendudukinya dan terpaksa menyewa kediaman lain.

“Harapan kita supaya Kerajaan Negeri mengatasi masalah ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Di DUN Permatang, beliau berkata, ada satu projek rumah terbengkalai di Taman Sungai Yu Indah melibatkan hampir 300 unit.

“Struktur dan bumbung siap tetapi projek itu terhenti. Projek itu dalam bidang kuasa PNSB iaitu anak syarikat Kerajaan Negeri.

“Saya sudah bawa masalah itu setiap kali sidang dewan. Ada jawapan tetapi di lapangan tidak ada gerak kerja,” katanya.