Categories
SELANGOR

Peruntukan pengurusan pusat cecah 80 %, perlu contohi Selangor

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 16 OKT: Perbelanjaan pengurusan Kerajaan Persekutuan terlalu tinggi hingga mencecah 80 peratus perlu dikurangkan pada Belanjawan 2016 bagi membolehkan lebih banyak peruntukan disalurkan kepada projek pembangunan seperti dilakukan Kerajaan Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata ia boleh dikurangkan dengan mengambil langkah memotong perbelanjaan tidak perlu, elak pembaziran serta ketirisan yang banyak berlaku sebelum ini.

Iskandar Samad“Kerajaan Negeri akan kekal utamakan perbelanjaan pembangunan dalam Belanjawan Selangor 2016 nanti berbanding perbelanjaan pengurusan. Cara ini akan memberi kesan kepada pendapatan negeri dan meningkatkan ekonomi negara dan rakyat.

“Berbanding di persekutuan, belanja pengurusan hampir 80 peratus sedangkan pembangunan hanya 20 peratus,” katanya kepada Selangor Kini.

Dalam Belanjawan 2015 lalu, Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali fokus mengutamakan pembangunan yang mampu memberi kesan positif kepada kehidupan rakyat di negeri itu.

Sementara itu, Kerajaan Negeri turut melaksanakan polisi mengurangkan perbelanjaan pengurusan tanpa menjejaskan kebajikan kakitangan Kerajaan Negeri dan kecekapan jentera kerajaan dalam memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat.

Keberkesanan polisi ini dapat dilihat, apabila Kerajaan Negeri masih mampu memberi bonus sebulan gaji kepada kakitangannya ketika Aidilfitri lalu berbanding Kerajaan Persekutuan yang hanya mampu memberi saguhati RM500 sahaja.

Selain itu, sistem penyampaian kepada masyarakat turut ditingkatkan dengan peningkatan pelbagai mekanisma yang memberi kesan positif kepada pelbagai sektor di negeri itu.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.