Categories
SELANGOR

Peruntukan RM1.5 juta bantu pesakit buah pinggang

Oleh : NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 1 OKT: Sekurang-kurangnya 20 pusat dialisis swasta dilantik Kerajaan Negeri sebagai Panel Dialisis Sihat Selangor dengan peruntukan RM1.5 juta setahun.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Keluarga dan Wanita, Dr Daroyah Alwi, berkata langkah strategik itu bertujuan membantu pesakit buah pinggang yang tidak berkemampuan mendapatkan rawatan secara berkala.

Katanya, proses pemilihan dibuat Kerajaan Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri bagi memastikan semua pusat terpilih mematuhi semua syarat dan piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

PUSAT DIALISIS“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Mac lalu meluluskan menjalankan kerjasama strategik dengan pusat dialisis swasta.

“Strategi pelaksanaan ini dilihat lebih berkesan, mudah dan berimpak tinggi berbanding Kerajaan Negeri mewujudkan dan menguruskan pusat dialisis sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Panel Dialisis Sihat Selangor, di Renelteam Dialisis Center, di sini.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Mohd Azizi Mohd Zain.

Daroyah berkata, sebelum ini Kerajaan Negeri melaksanakan Pusat Dialisis Rakyat (PDR) yang beroperasi di bawah sebuah entiti iaitu Gedung Penawar Sdn Bhd.

Namun, katanya, PDR yang sedia ada hanya mempunyai 36 buah mesin dan mampu memberi rawatan kepada 112 pesakit bagi tahun 2014.

“Pada tahun 2014, terdapat 149 Pusat Dialisis Swasta yang menjalankan operasinya di negeri ini.

“Daripada jumlah itu, 105 Pusat Dialisis Swasta mempunyai lesen yang sah daripada pihak KKM,” katanya.

-NR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.