Categories
NASIONAL

Rafizi dakwa Najib sorok kos belanja jet RM40.8 juta

AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak cuba menyembunyikan perbelanjaan melibatkan jet ACJ320 yang dianggarkan sebanyak RM40.8 juta.

Katanya, jumlah tersebut adalah bagi tempoh enam bulan bermula April hingga September 2015.

Rafizi“Mengikut rekod kos lawatan luar negara Najib bermula 2008 hingga 2013, beliau membelanjakan purata RM9 juta setahun.

“Dianggarkan kos sewaan, operasi dan perjalanan sejak mula beroperasi adalah berjumlah RM40.8 juta iaitu kos sewaan berjumlah RM2.217 juta sebulan.

“Sementara kos penyelenggaraan dan pengurusan pula RM3.833 juta sebulan dan kos perjalanan luar negara perdana menteri (berdasarkan purata tahunan) dianggarkan RM4.5 juta,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen.

Rafizi berkata, pertanyaan dalam Dewan Rakyat mengenai jumlah perjalanan menyatakan senarai setiap perjalanan jet tersebut sejak mula beroperasi hingga 31 Oktober 2015 tidak dijawab dengan tepat.

“Jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said tidak menyentuh perkara ditanya secara khusus.

“Sebaliknya hanya maklumat jet peribadi itu diguna sebanyak 42 kali sejak mula perkhidmatan April lalu,” katanya.

Secara purata, Rafizi menganggarkan jet terbabit melakukan tujuh penerbangan setiap bulan antara April hingga September tahun ini.

“Ini bukan kali pertama soalan mengenai perbelanjaan melibatkan jet peribadi digunakan pimpinan kerajaan dibawa ke Parlimen,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.