Categories
NASIONAL

Rakyat mahu bajet sejahtera bukan sengsara

Oleh : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Bajet Persekutuan 2016 disifatkan sebagai ‘Bajet Talian Hayat’ menyelamatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ia tidak mampu memacu ekonomi ke arah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kebanyakan peruntukan adalah sebagai permulaan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) diisytihar sebagai ‘Pusingan Terakhir’ sebelum mencapai Wawasan 2020.

Azizah Permatang Pauh“Pemerhatian pertama adalah seperti RMK sebelum ini, ia juga tidak tercapai. Sejak RMK-10, Penilaian Laporan Separuh Penggal RMK tidak lagi dibentangkan di Parlimen.

“Ditambah lagi dengan amalan sejak 2011 untuk tidak lagi membentangkan Laporan Ketua Audit Negara semasa sesi pembentangan, ia hanya mengesahkan bahawa prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan timbang tara gagal diamalkan,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh turut membidas pertambahan peruntukan terhadap Jabatan Perdana Menteri (JPM) hampir RM1 bilion kepada RM 20.3 billion, sekali gus tertinggi dalam sejarah.

Tegasnya, rakyat Malaysia mahu bajet tulen mensejahterakan dan bukan menyengsarakan kehidupan rakyat.

“Sasaran ETP bahawa negara memerlukan kadar pertumbuhan 6 peratus KDNK juga tersasar.

“Tema juga tersasar apabila kerajaan sudah enam tahun membentangkan Perbelanjaan Bekalan Tambahan (Supplementary Supply Bill),” katanya.

Tambahnya, pengurangan peruntukan pengajian tinggi membutikan kerajaan tersasar daripada matlamat mengutamakan pendidikan.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.