Categories
SELANGOR

RM1.5 juta bantu pekerja ladang

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.5 juta tahun hadapan untuk pekerja dan bekas pekerja ladang bagi membantu golongan berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata ia perancangan dijalankan Kerajaan Negeri bagi membantu golongan terbabit menyesuaikan diri dalam usaha mencorakkan kehidupan pada masa hadapan.

“Kita juga mencadangkan peruntukan RM1 juta untuk meneruskan Program Bantuan Rumah Kerajaan Prihatin dengan rumah dibina dan diberikan percuma kepada mereka yang layak,” katanya.

Dalam mengatasi masalah denggi, beliau berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1.5 juta untuk program pencegahan dan kawalan bagi tujuan itu.

Katanya, ia melalui tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan lebih ketat di kawasan termasuk rumah kediaman dan tapak projek pembinaan.

“Kerajaan Negeri menyedari masalah denggi masih serius dan perlu ditangani dengan berkesan serta komprehensif.

“Masyarakat disaran bersama membantu menjaga kebersihan di kawasan kediaman untuk memastikan tempat pembiakan nyamuk Aedes dihapuskan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin berkata, pihaknya juga bercadang memperuntukkan RM500,000 untuk menjayakan program Sihat Selangor.

“Ia meliputi program Kayuhan Jantungku, Larian Jantungku, saringan dan pameran kesihatan bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai gaya hidup sihat serta cergas,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.