Categories
NASIONAL

Sektor pendidikan terus ditekan, kali ini potong 15 %

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Pakatan Harapan (Pakatan) kesal dengan keputusan Kerajaan Persekutuan memotong peruntukan pendidikan tinggi dalam bajet Persekutuan 2016.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata langkah itu melibatkan pemotongan sebanyak RM1.4 bilion (15.25 peratus) kepada RM13.378 bilion untuk 2016 berbanding RM15.785 bilion bagi 2015.

DR SITI MARIAH PIC MZA“Ini sudah tentu menjejaskan kualiti penyelidian dan pendidikan di universiti kita.

“Ada kemungkinan yuran pengajian sesetengah kursus akan dinaikkan dan ini meningkatkan beban penuntut sekali gus menyebabkan jumlah penuntut mampu mendaftar berkurangan,” kata Dr Mariah.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Lobi Parlimen di sini, hari ini.

Katanya, Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga bertindak mengurangkan pembiayaannya mengikut tahap pendapatan seisi rumah sejak November 2014.

“Penerima BR1M juga tidak terkecuali mereka cuma diberi 85 peratus pembiayaan yuran kursus.

“Ibu bapa daripada golongan miskin ini atau B40 terpaksa menanggung 15 peratus yuran kursus, kos sara hidup, sewa hostel dan kos peralatan pembelajaran anak,” katanya.

Selain golongan B40, peruntukan untuk keluarga golongan pertengahan 40 peratus (M40) turut dipotong sebanyak 63.75 peratus.

Selain Dr Mariah turut hadir dalam sidang media itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.