Categories
SELANGOR

Belanjawan 2015 efektif, Rumah Selangorku capai sasaran

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 28 OKT: Pelaksanaan perumahan Selangorku mengatasi sasaran ditetapkan Kerajaan Negeri apabila 20,000 unit dibina dalam tempoh tiga tahun.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei, berkata perancangan digariskan dalam Belanjawan 2015 itu adalah pencapaian membanggakan dengan sasaran awal sekitar 15,000 unit sahaja.

yb shuhaimi“Ia kejayaan Kerajaan Negeri apabila anak syarikat dan swasta dapat menyiapkan rumah dalam tempoh ditetapkan hingga melepasi sasaran awal.

“Pembangunan juga bersifat adil tanpa membezakan golongan kurang berkemampuan dan berada menerusi konsep pembinaan dalam kawasan sama,” katanya kepada Selangor Kini.

Adun Sri Muda itu berkata, pembangunan terbabit nyata menepati tema belanjawan 2015 iaitu ‘Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli’ di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Konsep perumahan Selangorku menyediakan empat jenis rumah iaitu A berharga RM42,000, B (RM120,000), C (RM180,000) dan D (RM220,000 hingga RM250,000).

“Maklum balas rakyat di seluruh daerah adalah positif dan ternyata belanjawan dibentangkan tahun ini menepati atau mencapai sasaran seperti mana diinginkan.

“Biarpun pertumbuhan ekonomi dijangka agak menguncup tahun hadapan namun, Kerajaan Negeri bersedia hadapinya menerusi perancangan belanjawan 2016 yang peduli rakyat dengan pembaharuan positif,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.