Categories
SELANGOR

Selangor terus bantah kenaikan kadar tol

SHAH ALAM, 15 OKT: Kerajaan Negeri kesal dengan keputusan menaikkan kadar tol di Lebuhraya KESAS dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT) kerana tidak dibincangkan dalam mesyuarat lembaga pengarah.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata walaupun dua anak syarikat Kerajaan Negeri mempunyai saham minoriti dalam konsesi lebuh raya, namun ia tidak menghalang Selangor untuk membantah.

MB AzminBeliau berkata, Kerajaan Negeri melalui wakilnya sudah meminta Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah dipanggil segera untuk menggunakan kuasa minoriti bagi menolak cadangan kenaikan kadar tol.

“Walaupun tidak mempunyai kuasa pemutus dan hanya pemegang saham minoriti dalam syarikat konsesi lebuh raya, adalah menjadi dasar Kerajaan Negeri untuk membantah kenaikan tol yang tidak bertanggungjawab.

“Kesan kenaikan itu akan terus menekan kehidupan rakyat yang semakin terhimpit akibat kegawatan ekonomi dan kejatuhan nilai ringgit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin juga meminta Kerajaan Persekutuan menggunakan perolehan kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk membayar pampasan kepada syarikat konsesi.

tol auotmatik 1Katanya, ia bagi mengelakkan rakyat terus dibebani dengan kenaikan kadar tol yang melampau dalam keadaan peningkatan kos sara hidup hari ini.

“Keputusan Kerajaan Persekutuan membenarkan kenaikan kadar tol adalah tidak bertanggungjawab dan amat dikesali terutama ketika rakyat berdepan kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya.

Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang) masing-masing memiliki saham minoriti 30 peratus dalam syarikat konsesi Lebuhraya KESAS sejak 1993.

Manakala, pegangan saham sebanyak 20 peratus dimiliki kdua syarikat terbabit dalam konsesi Lebuhraya SPRINT sejak 1999.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.