Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 8 OKT: Gesaan Raja-Raja Melayu yang mahu kerajaan menyelesaikan siasatan isu 1Malaysia Development Sdn Bhd (1MDB) perlu diberi perhatian serius oleh pihak terbabit.
Adun Taman Medan, Haniza Talha, berkata pihak yang terbabit dengan 1MDB tidak boleh terus menolak siasatan itu kerana perkara itu sudah disuarakan Majlis Raja-Raja Melayu.
“Gesaan itu dibuat memandangkan isu ini sudah terlalu banyak dibincangkan, namun tiada sebarang penyelesaian. Rakyat atau pemimpin politik dari kerajaan juga pembangkang ternyata menolak perkara itu dan kini isu terbabit menyebabkan kejatuhan mata wang negara.
“Walaupun dalam isu ini pihak eksekutif seharusnya memberikan jawapan, namun setakat ini belum ada. Majlis Raja-Raja menyuarakan pandangan itu sebagai ‘suara’ mewakili rakyat,” katanya yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR.
Sementara itu, Adun Morib, Hasnul Baharuddin, berkata saranan itu bertepatan dengan kehendak rakyat dan keadilan untuk semua pihak kerana terlalu banyak keraguan yang menyelubungi isu itu sehingga syarikat berkenaan berhutang RM42 bilion.
“Begitu juga dengan tuduhan wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri. Pembelian hartanah yang jauh melebihi harga pasaran. Begitu juga pembelian janakuasa yang terlalu mahal.
“Akibatnya, mata wang negara jatuh. Oleh itu, saranan Gabenor Bank Negara perlu diikuti bagi menyelamatkan negara daripada terus muflis,” katanya.
Adun Kuala Kubu Bahru, Lee Kee Hiong, pula berkata, gesaan itu perlu dilaksanakan bagi mengembalikan semula keyakinan orang ramai terhadap institusi kerajaan.
“Saya menyambut baik titah Majlis Raja-Raja itu. Isu ini sudah berlarutan begitu lama dan orang awam sudah hilang keyakinan terhadap insitusi yang menjalankan siasatan,” katanya.
Pada 6 Oktober lalu, Majlis Raja-Raja Melayu dalam kenyataan yang dikeluarkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad, menggesa kerajaan menyelesaikan siasatan isu 1MDB secepat mungkin serta mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang terbabit.
Baginda sekalian mahu semua pihak bertanggungjawab memberi kerjasama yang sebenar dan jujur supaya usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.
Raja-Raja Melayu bimbang jika isu itu tidak ditangani secara bijak, berlarutan dan memakan masa terlalu lama, maka ia akan menjejaskan ekonomi negara dan memudaratkan kehidupan rakyat jelata.
-NFN-