Categories
SELANGOR

Tokoh Korporat: UNISEL perlu bertaraf antarabangsa, lahir graduan berkualiti

Oleh: AFIX REDZUAN

BESTARI JAYA, 25 OKT: Universiti Selangor (UNISEL) mampu bersaing dan terus maju setanding dengan institut pengajian tinggi antarabangsa jika berjaya melahirkan lebih ramai graduan yang memenuhi kehendak semasa industri.

Keyakinan itu dilontarkan bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim ketika ditemui Selangor Kini selepas Istiadat Konvokesyen Ke-10 Universiti Selangor (UNISEL) di Dewan Canselor Kampus Bestari Jaya.

Unisel-Grafik“Saya percaya UNISEL mampu berjaya kerana satu kelebihannya adalah pembelajaran dwi bahasa. Graduan (UNISEL) hari ini jika ingin mencari kerja dan hanya mahir satu bahasa memang ada hambatan.

“Tetapi di sini diajar dengan dwi bahasa ditambah bimbingan fakulti serta reputasi UNISEL saya yakin masa depan yang baik bukan sahaja untuk universiti tidak kurang untuk pelajar,” katanya.

Menyentuh soal lambakan graduan pasca siswazah yang masih menganggur, Muhammad Ali berpandangan ia merupakan satu cabaran bahkan perkara sama turut dihadapi graduan bekerja untuk mempertahankan karier mereka.

Katanya, ganerasi sekarang perlu mengintai peluang menceburi bidang perniagaan memandangkan tiada jaminan mendapatkan peluang bekerja meskipun memiliki sekeping sijil.

“Kita lihat banyak laporan syarikat memberhentikan pekerja kerana dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu biasanya pekerja akan terjejas.

Ali Hashim“Jadi para graduan dan pelajar serta generasi baru perlu bersedia dengan keadaan bahawa tidak ada jaminan seperti dahulu, kerja sentiasa ada.

“Hal yang demikian mereka perlu lebih mencari ruang dan peluang mencari bakat baru dalam pelbagai bidang,” katanya.

Selaku tokoh korporat terkenal, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, 68, sebelum itu menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan Perniagaan yang disampaikan Canselor UNISEL, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Dengan berpengalaman selama lebih 28 tahun mengemudi JCorp bermula Januari 1982 hingga Julai 2010, beliau adalah Pengasas Waqaf An Nur Corporation Bhd, (WANCorp), sebuah institusi Waqaf Korporat pertama yang ditubuhkan di Malaysia.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.