Categories
SELANGOR

11 premis makanan terima 16 kompaun

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 NOV : Sebanyak 16 kompaun membabitkan pelbagai kesalahan perniagaan dikeluarkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam operasi khas di sekitar Jalan Tengku Kelana baru-baru ini.

Ketua Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz, berkata operasi itu dilakukan berdasarkan aduan awam yang peka terhadap isu berkaitan kebersihan pengusaha restoran dalam menjalankan perniagaan.

Katanya, sebanyak 11 premis menjalankan perniagaan di restoran terbabit diperiksa Jabatan Kesihatan, Perkhidmatan Persekitaran, Penguatkuasa, Pelesenan dan Jabatan Bangunan.

MPK OPS“MPK juga mengeluarkan kompaun bagi kesalahan meletak halangan di laluan awam, membuang sisa makanan ke dalam longkang dan meletak sampah di luar tempat sampah,” katanya dalam kenyataan.

Norfiza berkata, turut dikenakan kompaun bagi kesalahan tempat sampah dijadikan stor meletakkan peralatan perniagaan dan kegagalan peniaga tidak memberikan imunisasi demam kepialu kepada pekerja mereka.

“MPK memandang serius isu berkaitan kebersihan dan sentiasa komited menjalankan operasi penguatkuasaan kerana ia melibatkan kepentingan awam .

“Operasi seperti itu diteruskan dari masa ke masa bagi memastikan tiada pihak ingkar arahan ditetapkan,” katanya.

Norfiza berkata, MPK juga mengalu-alukan sebarang aduan, cadangan dan pendapat daripada orang awam bagi mengatasi isu berkaitan kebersihan terutama di kalangan pemilik premis.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.