Categories
NASIONAL

1MDB: Tiada siasatan, menteri mengaku tak tahu mana Jho Low

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Lokasi ahli perniagaan terkenal, Jho Low dan empat individu lain dikehendaki Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan skandal 1MDB tidak diketahui ke mana menghilang.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen, berkata hal itu berikutan tiada siasatan dan permohonan dikemukakan kepada Polis Interpol untuk mengesan individu terbabit.

Katanya, dalam jawapan bertulis oleh Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada beliau menyatakan selain Jho Low, inidividu lain turut tidak diketahui berada di mana adalah Nik Faisal Ariff Kamil, Suboh Md Yassin, Cassey Tang dan Jasmine Loo.

WONG CHEN“Interpol Polis DiRaja Malaysia tidak dapat mengesan dan menentukan di mana mereka berada ketika ini memandangkan tiada siasatan dibuat oleh polis terhadap mereka dan tiada permohonan kepada Interpol untuk membantu mengesan kedudukan mereka.

“Sejak 22 Julai, Jho Low, Nik Faisal dan Suboh dikenhendaki SPRM untuk disoal. Casey dan Jasmine pula dikehendaki BNM untuk tujuan sama di mana sudah menjadi pengetahuan umum mereka adalah lima kunci yang sudah tiada di Malaysia sejak Julai 2015 lagi,” kata Wong Chen pada sidang medianya di Lobi Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Wong Chen juga percaya individu terbabit boleh dikesan sekiranya pihak berkuasa berusaha mengesan mereka apabila dalam satu laporan New York Times menyatakan Jasmine dikesan mendiami salah satu apartment mewah di New York.

“Lima individu yang menjadi kunci siasatan 1MDB ini tidak menyorok di dalam Gua Tora Bora tetapi mereka tinggal di kawasan mewah dan menarik perhatian,” katanya.

Wong Chen turut menggesa BNM dan SPRM segera membuat permohonan kepada Interpol untuk mengesan kelima-lima individu terlibat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.