Categories
AGENDA NASIONAL

Saksi: Jho Low orang kanan Najib, atur kewangan 1MDB

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendedahkan di Mahkamah Tinggi hari ini bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low merupakan orang kanan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mencaturkan hal ehwal urusan syarikat 1MDB yang membawa mandat perdana menteri.

Mohd Hazem Abdul Rahman, 47, saksi pendakwaan ke-10 menyatakan enam alasan mengapa beliau berpendapat sedemikian.

Pertama, katanya pengenalannya dengan Jho Low adalah melalui Datuk Azlin Alias iaitu Ketua Setiausaha Sulit Najib ketika itu jelas menunjukkan bahawa Jho Low merupakan orang yang mempunyai akses kepada pasukan kerja di Pejabat Perdana Menteri dan membawa mandat perdana menteri.

Kedua, katanya akses Jho Low terus dengan Najib yang beliau pernah nampak beberapa kali ketika beliau mempunyai pertemuan dan perbincangan dengan Najib berhubung 1MDB, Jho Low akan turut sama hadir.

“Saya sahkan kehadiran Jho Low bersama Datuk Seri Najib di beberapa tempat luar negara seperti di New York pada tahun 2013 dan di Abu Dhabi sekitar tahun 2013 dan 2014 apabila saya menghadiri majlis menandatangani (perjanjian) atau bermesyuarat dengan pihak pelabur luar,” katanya dalam penyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah Najib membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Ketiga Mohd Hazem berkata dalam beberapa mesyuarat tentang 1MDB dengan Najib di rumah bekas perdana menteri itu, beliau melihat Najib berbincang dengan Jho Low terlebih dahulu barulah Najib akan berjumpa dengannya.

“Setelah itu kami bertiga akan bermesyuarat tentang isu 1MDB yang Jho Low memainkan peranan aktif dalam perbincangan tersebut,” katanya.

Keempat, katanya pertemuannya dengan Jho Low adalah melalui Azlin yang diakui sendiri oleh Azlin bahawa Jho Low mewakili perdana menteri dalam 1MDB.

Kelima, katanya Jho Low telah menyusun orang-orang beliau (proksi) dalam 1MDB antaranya ialah Jasmine Loo dan Terence Geh iaitu untuk melantik pengurusan kanan perlulah diluluskan dan diperkenankan oleh Najib terlebih dahulu.

Sebab terakhir katanya Jho Low juga menyusun ahli lembaga pengarah (BOD) yang dipengerusi oleh Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, supaya kesemua aktiviti dalam 1MDB akan mudah diberi persetujuan oleh pihak BOD.

Mohd Hazem berkata Jho Low juga adalah individu yang akan menyusun, memanipulasikan dan mengatur semua keputusan, usahasama, pelaburan, kewangan dan penjanaan dana di luar negara membabitkan projek 1MDB yang dijadikan alat untuk mendapatkan dana bagi Najib dan UMNO.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mohd Hazem Abdul Rahman (kanan) ketika hadir sebagai saksi pendakwaan ke-10 dalam perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB di Mahkamah Tinggi pada 14 September 2020. Foto BERNAMA

Beliau berkata ini dinyatakan sendiri oleh Jho Low kepadanya dan Jho Low percaya kepadanya kerana beliau adalah kawan baik Azlin.

“Atas sebab itulah Jho Low selesa untuk bercerita dan mengarahkan saya melalui e-mel dan BBM (pesanan Blackberry) serta perbualan lisan,” katanya.

Beliau berkata Jho Low akan beroperasi dari belakang dan arahan beliau perlulah dipatuhi olehnya dan juga bekas CEO 1MDB sebelumnya Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Azmi Tahir, bekas pegawai kewangan 1MDB.

“Kami tiada pilihan lain dan terpaksa akur kerana ia adalah arahan daripada perdana menteri (Najib) juga iaitu orang yang paling berkuasa untuk membuat sebarang keputusan.

“Sekiranya tidak akur atau mematuhi arahan ini saya risau ia akan menjejaskan karier pekerjaan saya dan boleh dibuang kerja kerana perdana menteri mempunyai kuasa mutlak untuk menggugurkan saya daripada syarikat ini.

“Selain itu saya juga risau sekiranya dianggap sebagai melawan arahan perdana menteri yang ia boleh menjejaskan karier pekerjaan saya yang saya mungkin tidak boleh bekerja dalam sektor awam dan sektor korporat,” katanya.

Beliau berkata Jho Low sendiri pernah mengingatkannya bahawa Najib menubuhkan 1MDB adalah untuk menjaga dana UMNO dan ini adalah satu daripada cara mendapatkan dana politik melalui syarikat yang diselia oleh perdana menteri sendiri.

“Saya sahkan semasa saya masih lagi bekerja di 1MDB, e-mel yang saya gunakan untuk perbualan ataupun urusan berkaitan syarikat 1MDB ialah [email protected].

Saya boleh sahkan e-mel yang Jho Low gunakan untuk berkomunikasi dengan saya ialah melalui alamat e-mel [email protected]. Saya boleh sahkan e-mel tersebut adalah e-mel yang digunakan oleh Jho Low kerana arahan dan perbualan yang terlibat adalah sama dan konsisten dalam e-mel tersebut dengan perbualan melalui BBM (pesanan Blackberry) dan juga semasa perbincangan secara terus dengan Jho Low,” katanya.

Menceritakan perjumpaan pertamanya dengan Jho Low, Mohd Hazem berkata pada 15 Julai 2012 beliau telah berjumpa dengan Azlin dan Jho Low di Hotel Shangri La Putrajaya dan Azlin telah memperkenalkan Jho Low sebagai penasihat tidak rasmi kepada Najib yang menubuhkan 1MDB.

Saksi itu berkata dalam pertemuan itu, Jho Low memaklumkan kepadanya bahawa tujuan sebenar 1MDB ditubuhkan adalah untuk membantu UMNO melalui perniagaan melibatkan pelaburan strategik 1MDB tetapi beliau tidak menyatakan secara terperinci bagaimana cara beliau akan menggunakan 1MDB untuk membantu UMNO.

Katanya Azlin tidak bercakap banyak kerana perjumpaan ini sebenarnya adalah untuk mempertemukanya dengan Jho Low dan beliau (Jho Low) menceritakan sejarah dan latar belakang 1MDB termasuklah bagaimana beliau menubuhkan Lembaga Pelaburan Terengganu Berhad (TIA) dan menukar namanya kepada 1MDB.

“Beliau (Jho Low) tidak cerita secara mendalam tetapi secara kasarnya saya boleh menyimpulkan bahawa Jho Low dan Datuk Seri Najib adalah terlibat dalam penubuhan TIA sehinggalah 1MDB,” katanya.

Mohd Hazem berkata Jho Low juga memaklumkan kepadanya bahawa itu merupakan syarikat di bawah kendalian dan kehendak Najib yang sebarang keputusan dan kata putus adalah di bawah kuasa mutlak bekas perdana menteri itu.

“Jadi saya dapat gambaran dalam pertemuan itu bahawa saya perlu mendapatkan sebarang pelepasan daripada Jho Low dahulu jika bekerja di 1MDB. Datuk Azlin pun mengesahkan perkara tersebut. Inilah sebab sebenar pertemuan ini diadakan kerana selepas saya bertugas di 1MDB nanti saya perlu melaporkan sebarang keputusan dan mematuhi kehendak perdana menteri melalui wakil beliau iaitu Jho Low dan Datuk Azlin.

Datuk Azlin percaya saya kerana saya rakan lama beliau. Pada ketika itu saya telah mula rasa berbelah bahagi untuk bekerja kerana terlampau banyak keputusan melibatkan politik terpaksa saya akur sekiranya saya bekerja di 1MDB.

Namun saya tiada pilihan lain sebab, perdana menteri iaitu Datuk Seri Najib telah menandatangani dan meluluskan pelantikan saya sebagai Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Eksekutif di 1MDB,” katanya dan menambah beliau mula bekerja sebagai Pengarah Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Operasi di 1MDB pada bulan Ogos 2012 selepas selesai menguruskan perpindahan dari syarikat Sime Darby.

Mohd Hazem seterusnya berkata bahawa Jho Low merupakan orang penting yang diletakkan oleh Najib dalam 1MDB sebagai penasihat khas 1MDB melibatkan pelaburan serta penjanaan dana dan perkara ini diberitahu sejak awal lagi semasa pertemuan pertamanya dengan Jho Low bahawa sebarang keputusan jika melalui mereka (Jho Low dan Azlin) adalah merupakan arahan Najib.

“Saya perlu akur kerana Jho Low memaklumkan bahawa semua dana yang diterbitkan melalui pelaburan 1MDB di luar negara adalah untuk kepentingan parti Umno dan saya tidak boleh mempersoalkan perkara tersebut,” katanya.

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KPN: Jho Low ‘menyorok’ di Macau

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low kini dikesan bersembunyi di Macau, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau ketika mengesahkan perkara itu berkata terdapat petunjuk yang mengesahkan keberadaan Jho Low di wilayah itu.

“Pihak polis sedang berusaha mengesan Jho Low untuk dibawa ke Malaysia,” katanya ringkas ketika dihubungi malam tadi.

Pada 4 Dis 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low bagi membantu siasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sejak itu pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk membawa pulang lelaki berkenaan.

Jho Low bukan sahaja dikehendaki oleh pihak berkuasa bagi pembabitannya dalam kes penyelewengan dana 1MDB tetapi juga merupakan saksi penting perbicaraan yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib mengaku hubungi Jho Low berkaitan wang dalam akaun

KUALA LUMPUR, 9 JAN: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau ada berhubung dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low “beberapa kali” berkaitan operasi akaun peribadi AmBank beliau.

Najib, 67, menjawab beberapa soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya ad hoc Datuk V Sithambaram berhubung dengan perbualan dalam BlackBerry Messenger (BBM) antara pengurus perhubungan AmBank ketika itu Joanna Yu dan Jho Low pada 2014 yang dilihat menunjukkan bahawa Jho Low terlibat dalam memastikan dana dalam akaun Najib sentiasa cukup.

Sithambaram membacakan perbualan antara Yu dan Jho Low berhubung jumlah baki dalam tiga akaun Najib dan perlu memastikan terdapat dana mencukupi untuk Najib mengeluarkan cek. Beliau turut merujukkan penyata bank yang selaras dengan akaun itu kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

Penyata bank itu memaparkan pembelian peribadi berjumlah 763,500 Euro (RM3.28 juta) dibuat Najib di sebuah kedai barang kemas mewah Swiss di Itali.

Sithambaram: Ini jelas menunjukkan bahawa Jho Low memastikan anda mempunyai cukup wang untuk mengeluarkan cek. Adakah ini betul, tuan?

Najib: Ia kelihatan begitu.

Sithambaram: Adalah jelas bahawa Jho Low memastikan semua transaksi dapat dijalankan, betul tuan?

Najib: Ya.

Sithambaram: Dan daripada transaksi dan perbualan ini, Jho Low mengesahkan akaun kepada pihak bank untuk tujuan memastikan dana mencukupi untuk anda menggunakan kad kredit anda dan mengeluarkan cek, betul tuan?

Najib: Ya.

Sithambaram: Saya cadangkan kepada anda, perbualan BBM ini menunjukkan bahawa Jho Low pada beberapa waktu berhubung dengan anda, untuk memastikan kad dan cek boleh dikeluarkan.

Najib: Ia dibuat menerusi Datuk Azlin Alias ​​(bekas setiausaha peribadi utama Najib).

Sithambaram: Tetapi pada masa-masa tertentu dengan Jho Low?

Najib: Hanya beberapa kali. Beberapa kali sahaja.

Sithambaram: Beberapa kali, dia berhubung dengan anda?

Najib: Ya.

Semalam, Najib memberi keterangan bahawa beliau dimaklumkan tentang status akaun bank peribadinya kebanyakannya oleh Azlin dan kadang-kala oleh Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd Nik Faisal Ariff Kamil tetapi dengan Jho Low ia hanya untuk pengiriman wang membabitkan sumbangan Arab Saudi.

Najib, bagaimanapun, tidak bersetuju bahawa beliau mempunyai pengetahuan sebenar tentang status tiga akaunnya pada setiap masa.

Sithambaram turut menyoal Najib tentang kenapa beliau menghalang bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah daripada pergi ke Switzerland untuk mendapatkan wang yang dipinjam SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Dalam jawapannya, Najib menegaskan bahawa permintaan daripada Ahmad Husni tidak dibuat secara rasmi.

Sithambaram: Anda bersetuju bahawa SRC, sebagai sebuah syarikat, memohon kepada kerajaan Switzerland untuk menarik balik pembekuan wang adalah tidak begitu berkesan seolah-olah kerajaan telah menghantar wakil untuk mendapatkan wang itu?

Najib: Itu boleh dibahaskan.

Sithambaram: Wang ini milik dana pencen kerajaan yang sah. Sekiranya menteri kewangan atau menteri kewangan kedua pergi, ia akan menjadi lebih berkesan. Saya tidak boleh bayangkan sebaliknya. Kenapa Ahmad Husni tidak boleh mengambilnya?

Najib: Ia akan lebih berkesan dengan perancangan yang betul.

Sithambaram: Adakah anda memberitahunya untuk membuat perancangan yang betul?

Najib: Saya tidak memberitahunya tetapi saya mahukan perancangan yang betul.

Sithambaram: Saya cadangkan kepada anda bahawa anda tidak mahu beliau pergi dan membawa balik dana itu.

Najib: Saya tidak bersetuju.

Najib juga memberi keterangan bahawa Kabinet tidak dirujuk apabila pinjaman kedua SRC International gagal kerana perkara itu sudah berada di bawah bidang kuasanya sebagai perdana menteri.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, yang terdiri daripada tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dengan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung 20 Januari.

Hakim mengingatkan Najib untuk tidak membincangkan kes itu atau menyiarkan sebarang kenyataan di media sosial berhubung kes itu kerana beliau akan menyambung keterangan dan masih terikat dengan angkat sumpah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Usaha bawa pulang Jho Low hanya `bertepuk sebelah tangan’ – KPN

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Berbaki lapan hari lagi sebelum berakhirnya tahun 2019, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador tetap memegang janjinya untuk membawa pulang ahli perniagaan kontroversi yang diburu Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Beliau berkata, pelbagai usaha dilakukan pihaknya namun kerjasama dengan pihak berkuasa negara luar seolah-olah tidak ikhlas meskipun ada perjanjian ekstradisi dengan negara terlibat, dan beliau mengibaratkan ia seperti ‘bertepuk sebelah tangan’.

“Usaha dan kerjasama antara Malaysia dan negara terlibat sepatutnya mempunyai semangat membalas budi, namun saya lihat pihak yang satu lagi tidak ikhlas dalam membantu kami mendapatkan Jho Low dan ini benar-benar mengecewakan saya,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas perkembangan usaha mencari Jho Low.

Abdul Hamid bagaimanapun enggan mendedahkan nama negara yang berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi serta Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid menegaskan beliau akan terus berusaha untuk membawa Jho Low pulang sebelum hujung tahun ini.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat perisikan, kedudukan dan lokasi persembunyian Jho Low sudah diketahui, namun kerjasama dan bantuan pihak berkuasa negara terlibat penting untuk memudahkan proses membawa pulang ahli perniagaan itu seterusnya dihadapkan ke muka pengadilan.

Abdul Hamid berkata, siasatan terkini pihaknya menunjukkan Jho Low berusaha membeli hartanah di beberapa negara lain menggunakan wang yang dirompak di negara ini, selepas usahanya membeli hartanah di Cyprus berjaya dibongkar.

Pada 25 September lepas, Abdul Hamid memberi bayangan bahawa Jho Low yang dikaitkan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan kerugian berbilion ringgit, akan dibawa pulang hujung tahun ini.

Beliau berkata, Jho Low dilindungi pihak tertentu di sebuah negara, menyebabkan dia sukar diekstradisi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Jho Low dikesan cuba beli harta di Cyprus

KUALA LUMPUR, 6 NOV: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dikesan cuba membeli harta di Cyprus dengan menggunakan nama individu yang tidak dikenali, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, maklumat berkenaan diperoleh selepas pihaknya menahan beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan Jho Low dalam tempoh beberapa minggu lalu.

“Hasil tangkapan, kami berjaya merungkai dan mendapatkan maklumat Jho Low sedang berusaha membeli harta di negara berkenaan.

“Kami ada membuat tangkapan secara diam-diam (beberapa minggu lepas),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Buku Manual Siasatan Jenayah Komersial dan Buku Arahan Penyiasatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras, di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mendakwa pihak berkuasa menganggarkan RM18.9 bilion aset milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih belum dikenal pasti setakat ini hingga melibatkan lima negara.

Berdasarkan perkara itu, Abdul Hamid berkata, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman giat berusaha mengkaji petunjuk baharu berkaitan Jho Low.

“Pasukan AMLA giat bekerja siang dan malam mengkaji petunjuk-petunjuk yang ada (termasuk isu Cyprus ini),” katanya.

Ditanya, sama ada pihak polis berhubung dengan dengan pihak Cyprus berhubung kes Jho Low yang dilucutkan hak kerakyatannya di Cyprus, Abdul Hamid menjelaskan polis tidak berhubung dengan negara berkenaan setakat ini.

“Saya tidak berkomunikasi dengan pihak Cyprus. Tidak pernah ada, namun mungkin itu adalah tindakan yang sepatutnya dilakukan oleh sesebuah negara berdaulat,” katanya.

“Sudah tahu individu itu (Jho Low) dikehendaki oleh InterpoI (Polis Antarabangsa) dan notis merah, sepatutnya negara itu akur,” katanya.

Abdul Hamid berkata beliau tidak ada komunikasi terus dengan polis negara luar, sebaliknya hanya mengetahui melalui laporan akhbar sahaja.

“Saya sudah katakan, mustahil Jho Low boleh keluar daripada persembunyiannya dari negara itu. Dia masih di situ bersembunyi,” katanya.

Abdul Hamid berkata beliau juga tidak bermaksud menyamakan Jho Low dengan beruang, sebaliknya alasan yang diberikan Jho Low melakukan pembedahan plastik adalah alasan yang tidak boleh diterima.

“Saya tidak bermaksud sedemikian, alasan-alasan yang diberitahu susah untuk menjejak Jho Low antaranya kemungkinan dia melakukan pembedahan plastik. Itu yang saya bangkitkan di Tawau, Sabah (baru-baru ini).

“Sekiranya alasan dia menjalani pembedahan sehingga boleh berubah, alasan sebegini saya tidak boleh terima,” tegasnya.

Dalam pada itu, ditanya jika polis gagal membawa pulang Jho Low sehingga penghujung tahun ini, Abdul Hamid berkata tahap kesabarannya masih ada dan pihaknya sudah melakukan pelbagai usaha untuk bekerjasama dengan negara berkenaan.

“Tetapi saya amat kecewa apabila permintaan saya tidak dilayan dengan memberikan pelbagai alasan, sedangkan kami sudah beri kerjasama yang baik kepada negara berkenaan,” katanya.

Pada 4 Nov lepas, Abdul Hamid menyifatkan tindakan negara tertentu yang melindungi Jho Low disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

Negara berkenaan juga mengambil pendekatan enggan memberi kerjasama kepada Malaysia sekali gus menyukarkan tugas pihak berkuasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia tidak putus asa jejaki Jho Low – Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Malaysia tidak akan berputus asa menjalankan usaha mencari ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang kini dalam buruan, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menegaskan bahawa usaha menjejaki Jho Low tidak akan berhenti dan akan dicari sehingga ke ‘lubang cacing’ sekalipun.

“Susah nak kata (tempoh Jho Low akan dibawa pulang ke Malaysia), tak boleh ramal. Apa pun terserah pada Polis Diraja Malaysia (PDRM), apa kerja mereka buat, kerjasama dengan Interpol (polis antarabangsa), negara yang kita agak (lokasi Jho Low) di situ. Apa pun kena tunggu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini pihak berkuasa Malaysia dalam membawa pulang Jho Low, yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, ditanya laporan kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung kerjasama yang ditawarkan beberapa negara lain kepada Malaysia dalam menjejaki Jho Low, Muhyiddin mengesahkan perkara itu.

“Walaupun ada sikit sebanyak maklumat yang kita dapat tahu di mana dia (Jho Low) berada, walaupun dapat kerjasama dengan Interpol sudah naikkan ‘red flag’ (amaran), tetapi kalau tiada kerjasama negara berkenaan yang mana kita agak Jho Low ada di situ, jadi agak sukar nak ambil tindakan.

“Kita masih berusaha, tak boleh putus asa. Apapun kita nak dia dibawa ke Malaysia hadapi mahkamah dan serah kepada mahkamah tentukan,” katanya.

Terbaharu, Jho Low dilaporkan mendapatkan taraf warganegara di negara Mediterranean, Cyprus.

Sementara itu, berhubung kenyataan calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Karmaine Sardini bahawa penduduk kampung harus bersyukur dengan harga minyak kelapa sawit, Muhyiddin menjelaskan kenyataan calon PRK itu disalah tafsir.

“Kita harus bersyukur sebagai orang Islam, tetapi apa yang penting adalah apa langkah yang kerajaan mahu buat untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jho Low bertanggungjawab sedia pelan tindakan 1MDB

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Ahli perniagaan dalam buruan Low Teak Jho atau Jho Low diamanahkan untuk menyediakan pelan tindakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta maklumat yang akan disampaikan Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa sepanjang tempoh berkhidmat di 1MDB, beliau tidak digalakkan bercakap lebih daripada apa yang terdapat nota maklumat dan rancangan tindakan yang diberikan kepadanya.

“Sebenarnya, saya tidak digalakkan untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Sukar untuk mengatakan jika terdapat halangan tetapi sepanjang tempoh saya sebagai CEO mulai 2009 hingga 2013, saya selalu merasakan saya tidak digalakkan untuk menjadi penyibuk,” kata saksi itu.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pada hari ke-25 perbicaraan bekas perdana menteri itu.

Muhammad Shafee: Sebagai CEO, kamu tidak boleh bertanya mengenai perkara berkaitan 1MDB.

Shahrol Azral: Saya tidak digalakkan melangkaui apa yang terdapat dalam nota maklumat dan pelan tindakan yang diberikan kepada saya.

Saya teringat acara tanggungjawab sosial korporat (CSR) pada 2011 atau 2012, ketika saya berdiri di sebelah Najib, dan saya bertanya sama ada PM ketika itu boleh bercakap dengan PSI (PetroSaudi International Limited) tentang mendapatkan kembali wang 1MDB, Najib berkata” “cakap pada Jho Low “.

Muhammad Shafee: Adakah ketika itu kamu masih percaya pada Jho Low?

Saksi itu menjawab “ya”.

Muhammad Shafee: Tetapi tiada siapa yang menghalang kamu untuk mendapatkan maklumat?

Shahrol Azral: Tiada siapa yang menghalang saya.

Semasa menjelaskan secara terperinci tentang bekerja dalam “Pasukan Najib”, saksi berusia 49 tahun itu berkata ia bermakna bahawa semua orang bekerja secara ‘silo’ (sendiri) tanpa mendapat gambaran lengkap tentang apa yang berlaku.

“Bekerja dalam “Pasukan Najib ‘melibatkan kerja secara sendiri’ di mana kami mungkin tidak tahu mengenai apa yang berlaku dengan yang lain.

“Jadi apabila Jho Low mengemukakan kepada saya tentang sesuatu yang perlu dilakukan pada hari tertentu, dan memastikan orang-orang Arab gembira adalah penting, saya menerimanya dengan ikhlas bahawa ia adalah peranan yang sepatutnya diambil oleh saya dan 1MDB,” katanya.

Ketika ditanya siapa yang menganjurkan program “silo” ini, Shahrol Azral berkata ia antara beliau dengan Jho Low.

Muhammad Shafee: Jadi, Jho Low menganjurkan program “silo” ini?

Shahrol Azral: Pada masa itu saya percaya bahawa tanggungjawab menguruskan butiran diberikan kepada Jho Low oleh Najib jadi Najib tidak perlu risau tentang butiran tersebut.

Jho Low menentukannya dan memberi kami pelan tindakan dan nota maklumat untuk bercakap bagi menyelesaikan tugas itu. Dia sangat baik mengaturkannya.

Muhammad Shafee: Oleh itu kamu mengesahkan bahawa Najib sendiri tidak akan mengetahui butir-butirnya?

Shahrol Azral: Saya tidak boleh memberi keterangan mengenai apa yang dia tahu atau tidak. Saya tidak bertanya di luar silo saya.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Khamis.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saksi: Jho Low lindungi “Bos” mahu e-mel, perbualan BBM dipadam

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Bekas ketua pegawai eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini beliau menerima arahan daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low untuk memadamkan perbualan antara mereka untuk melindungi “Bos”.

Ketika memberi keterangan pada perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menghadapi pertuduhan berhubung dana 1MDB, Shahrol Azral, 49, berkata Jho Low meminta beliau memadamkan semua perbualan secara elektronik dan fizikal akibat serangan politik untuk melindungi “Bos” yang dirujuknya sebagai Perdana Menteri ketika itu.

Apabila ditanya oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selaku peguam utama Najib, saksi kesembilan pendakwaan itu bersetuju bahawa Blackberry Messenger (BBM) adalah bentuk komunikasi teks yang paling selamat pada masa itu.

“Jho Low sebelum ini memberi saya dua peranti BlackBerry, kerana dia tahu saya suka teknologi. Juga keperluan untuk komunikasi antara kami semakin meningkat pada selepas 2014 apabila dia hanya menggunakan BBM untuk mesej teks dan Skype untuk voice calls.

“Jho Low terus mengingatkan saya” kita tidak tahu siapa yang boleh kita percayai, kita perlu memastikan ia selamat untuk melindungi bos iaitu Perdana Menteri, ” kata Shahrol Azral sambil menambah Jho Low berhasrat untuk menggunakan hanya BBM kerana ia tidak boleh diintip.

Bagaimanapun, saksi itu berkata dia tidak berasa curiga terhadap keperluan Jho Low untuk memusnahkan semua bukti kerana Jho Low asyik bercakap mengenai “melindungi bos”

Terdahulu, ketika ditanya oleh Muhammad Shafee, Shahrol Azral berkata tiada satupun telefon bimbitnya diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis apabila dia dipanggil untuk disoal siasat.

Ditanya lagi sama ada dia diancam dengan tindakan sivil kerana tindakannya mengabaikan pengurusan 1MDB, Shahrol Azral menjawab “Tidak”

Bagaimanapun, pada akhir 2018, Ashwin J. Valiram, yang juga Ahli Lembaga 1MDB, menghubungi saya dan memberitahu saya bahawa dia mendapat tahu Kementerian Kewangan sedang merancang untuk mengambil tindakan terhadap pengurusan dan Lembaga Pengarah 1MDB .. Tetapi saya tidak semak dengan kementerian, ” katanya.

Muhammad Shafee: Adakah tindakan diambil terhadap 1MDB?
Shahrol Azral: Belum lagi.
Muhammad Shafee: Mengapa belum?
Shahrol Azral: Kami tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya.
Muhammad Shafee: Adakah anda bimbang tentang cara anda menjawab soalan di mahkamah, bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap anda?
Shahrol Azral: Saya tidak bimbang kerana saya tahu saya bercakap benar.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tindakan Najib ‘selaras sempurna’ dengan topik perbincangan Jho Low

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau percaya ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, diberi mandat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengurus pengeluaran semua bon syarikat dan jaminan International Petroleum Investment Co (IPIC) kerana tindakan yang diambil oleh bekas Perdana Menteri itu sepadan dengan topik perbincangan yang dihantar kepada beliau oleh Jho Low.

Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-15 perbicaraan Najib berhubung 1MDB.

Sri Ram: Anda berkata anda percaya bahawa Jho Low diberi mandat oleh Najib. Apakah alasan anda mempunyai kepercayaan itu?

Shahrol Azral: Kerana pada waktu itu, saya telah memerhatikan tindakan dan topik perbincangan yang dimulakan dari Jho Low dipenuhi dengan tindakan Najib.

Sri Ram: Dalam kata lain, tindakan itu yang diambil oleh tertuduh sepadan dengan topik perbincangan yang dihantar kepada anda oleh Jho Low?

Shahrol Azral: Tindakan sepadan dengan sempurna.

Terdahulu, ketika membaca kenyataan saksinya, saksi menekankan bahawa beliau percaya bahawa Jho Low diberi mandat oleh Najib untuk mengurus semua pengeluaran bond syarikat dan jaminan IPIC.

Mahkamah juga mendengar daripada Shahrol Azral bahawa lembaga pengarah 1MDB pada Oktober 2012 meluluskan syarikat untuk meminjam RM800 juta daripada Affin Investment Bank bagi tujuan mengambilalih Mastika Lagenda.

“Kelulusan itu dibuat oleh lembaga itu menerusi pekeliling pengarah bertarikh 9 Oktober 2012.

“Lembaga juga memberi saya kuasa untuk mengurus perkara berhubung perjanjian dan menandatangani perjanjian bagi pihak syarikat sebagai CEO dan pengarah urusannya,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013 di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jho Low atur bayaran deposit keselamatan untuk tujuan seleweng

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low telah mengatur pembayaran deposit keselamatan berjumlah AS$576,943,490 kepada Aabar Investments PJS (Aabar) bagi pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (TEHSB) bertujuan untuk diselewengkan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata demikian pada perbicaraan hari ke-15 kes Najib melibatkan dana 1MDB.

“Kesimpulannya, pengambilalihan TEHSB telah selesai melalui pembiayaan menggunakan pinjaman penyambung berjumlah RM6.17 bilion dan terbitan Bon berjumlah AS$1.75 bilion. Terdapat lebihan yang banyak daripada hasil pembiayaan untuk pengambilalihan tersebut.

“Namun saya ingin tegaskan bahawa saya langsung tidak tahu menahu bahawa lebihan wang untuk pembayaran deposit keselamatan berjumlah AS$576,943,490.00 kepada Aabar adalah untuk diseleweng. Ia dibuat secara niat baik berdasarkan dokumentasi yang disediakan oleh Jasmine Loo (peguam 1MDB), Terence Geh (pengarah 1MDB) dan Tim Leissner (Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Asia).

“Saya pasti tidak akan meluluskan kiriman wang tersebut sekiranya saya tahu bahawa ia adalah untuk diseleweng.

“Setelah penyiasatan dilakukan barulah saya tahu yang deposit keselamatan ini diaturkan oleh Jho Low untuk membolehkan wang 1MDB masuk ke dalam akaun yang dikawal olehnya untuk tujuan penyelewengan,” katanya.

Terdahulu, ketika dirujuk kepada “1MDB board meeting minutes 4/2012” bertarikh 18 Jun 2012 oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, dalam mesyuarat tersebut beliau telah membentangkan mengenai transaksi pengambilalihan 100% ekuiti TEHSB telah pun selesai.

“Selain itu, saya juga ada membentangkan mengenai pengarah serta urusan maklumat kewangan TEHSB. Antara maklumat penting adalah Pengerusi TEHSB adalah Datuk Wan Ahmad Shihab iaitu Pegawai Khas Perdana Menteri masa itu iaitu Najib.

“Nama beliau (Datuk Wan Ahmad) dimajukan oleh Jho Low kepada saya. Selain itu Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny iaitu CEO Aabar Investments PJS juga seorang pengarah dalam TEHSB. Ini adalah satu lagi faktor semasa itu yang meyakinkan saya akan kesehahihan hubungan 1MDB dengan Aabar,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari, 2011 dan 19 Disember, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Syarikat anak tiri Najib terima US$9 juta daripada Jho Low

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Red Granite Pictures, syarikat produksi Hollywood yang menerbitkan filem The Wolf of Wall Street, milik Riza Shahriz Abdul Aziz, menerima US$9 juta (kira-kira RM38 juta) sebagai pendahuluan untuk mengeluarkan filem daripada Good Star Ltd, syarikat Jho Low.

Berdasarkan kepada dokumen yang dikemukakan dalam perbicaraan kes Najib membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dinyatakan bahawa sejumlah US$9 juta dibayar kepada “Red Granite Productions, Inc.” melalui akaun di City National Bank Los Angeles.

Ia dinyatakan sebagai “pendahuluan bagi filem Wolf of Wall Street untuk ACHL” bertarikh 10 September 2012.

Perkara itu didedahkan di Mahkamah Tinggi di sini apabila bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, disoal Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram semasa pemeriksaan utama.

Sri Ram: Dokumen ini menunjukkan pemilik Good Star ialah Jho Low. Adakah kamu tahu mengenainya sebelum ini

Shahrol Azral: Saya tidak tahu.

Sri Ram: Semasa pendedahan mengenai 1MDB, adakah kamu terjumpa syarikat dengan nama Red Granite

Shahrol Azral: Ya. Saya membaca mengenai Red Granite.

Sri Ram: Apa yang kamu baca

Shahrol Azral: Ia merupakan pengeluar filem The Wolf of Wall Street. Red Granite yang menggunakan wang yang didakwa disalurkan daripada 1MDB.

Sri Ram: Itu satu dakwaan

Shahrol Azral: Ya.

Semasa merujuk kepada dokumen lain bertarikh 2011, Sri Ram menyoal Shahrol Azral sama ada beliau mengetahui tentang syarikat yang berpangkalan di California itu menerima sejumlah wang daripada Good Star melalui (syarikat perbankan swasta) RBS Coutts, yang dijawab saksi sebagai tidak tahu.

Sri Ram kemudian menunjukkan satu lagi dokumen bertarikh 10 September 2012, yang saksi maklumkan beliau tidak pernah melihatnya.

Sri Ram: (merujuk kepada dokumen) US$9 juta ke Red Granite daripada Good Star. Kamu nampak tak

Shahrol Azral: Ya.

Sri Ram menunjukkan dokumen lain kepada saksi berkaitan daftar ahli Red Granite yang menyatakan satu-satunya ahli syarikat itu ialah Riza Shahriz Abdul Aziz.

Sri Ram: Kamu tahu siapa dia

Shahrol Azral: Dia anak tiri Najib.

Sri Ram: Tetapi kamu tidak pernah melihat dokumen ini sebelum ini

Shahrol Azral: Saya tidak pernah melihatnya sebelum ini.

Sri Ram: Sekarang saya tunjukkan satu lagi dokumen yang saya pasti kamu tidak pernah lihat. Ini merupakan daftar pengarah Red Granite. Ia menunjukkan Riza Shahriz Abdul Aziz sebagai pengarah tunggal.

Shahrol Azral: Ya.

Datuk Seri Najib Razak, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jho Low proksi Najib isu pembelian IPP dan jaminan IPIC

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low adalah proksi kepada Datuk Seri Najib Razak dalam menguruskan isu berkaitan pembelian pengeluar tenaga bebas (IPP) serta bon yang dijamin International Petroleum Investment Co (IPIC).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, sepanjang proses pengumpulan dana bagi pembelian Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (TEHSB), perbualan antaranya dan Jho Low serta nota maklumat daripada ahli perniagaan itu melalui e-mel kepadanya, membuatkan beliau yakin Najib mengetahui dan menyokong penuh usaha itu.

“Saya percaya walaupun idea asal untuk membeli syarikat TEHSB ini datangnya dari saya berdasarkan perbualan saya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Infrastructure Partners, Phillip K Haddad; Jho Low dan Datuk Seri Najib telah mengambil peluang untuk ‘scale-up’ (memperbesarkan) idea ini dengan membeli IPP lain di Malaysia seperti Genting dan YTL.

“Pembelian IPP lain ini akan mewujudkan alasan untuk nilai ‘fund-raising’ (pengumpulan dana) yang lebih tinggi.

“Saya ada terlibat dalam perbincangan awal dengan Genting dan YTL. Ini adalah salah satu justifikasi yang diberi oleh Jho Low apabila saya bertanya mengenai terbitan bon yang amat besar berbanding keperluan untuk membeli IPP TEHSB dan Genting Sanyen,” katanya.

Saksi kesembilan yang juga saksi penting pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-14 perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Saksi itu berkata, Jho Low juga menyarankan 1MDB menerbitkan bon-bon US$1.75 bilion itu secara sekali gus dan dinamakan ‘Project Magnolia’.

“Jho Low berkata kepada saya, ‘do it quickly before IPIC changes their mind on the guarantee because of politics in Abu Dhabi’ (buatlah dengan segera sebelum IPIC menukar fikiran berkenaan jaminan itu disebabkan keadaan politik di Abu Dhabi) dan dia memberitahu saya secara peribadi sekitar Mei 2012.

“Saya juga percaya yang idea ‘funding’ (pembiayaan) melalui terbitan bon yang dijamin oleh IPIC dicetuskan oleh Jho Low dan Pengarah Goldman Sachs (Malaysia) Sdn Bhd, Tim Leissner dengan sokongan Datuk Seri Najib kerana tanpa sokongan beliau, amat mustahil untuk 1MDB mendapatkan jaminan dari pihak IPIC,” katanya.

Terdahulu, Goldman Sachs selaku perunding kewangan bagi 1MDB mencadangkan bagi pembiayaan pembelian TEHSB ditanggung melalui pinjaman penyambung bersindiket daripada Maybank dan RHB berjumlah RM6.17 bilion serta selebihnya hasil daripada terbitan bon yang dijamin oleh IPIC sejumlah US$1.75 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB Energy Limited (1MEL) iaitu syarikat yang terletak di pesisir Labuan milik 1MDB.

“Tim Leissner menjelaskan justifikasi harga RM10.6 bilion secara terperinci kepada ahli lembaga pengarah, namun ia terlalu teknikal dan rumit tetapi kami tidak mempersoalkan harga tersebut kerana percaya mereka telah mendapatkan pandangan Perdana Menteri melalui Jho Low kerana perolehan IPP ini melibatkan kos yang tinggi dan melibatkan dasar tenaga negara.

“Kedua-dua pinjaman dan terbitan bon ini menjadikan keseluruhan dana untuk proses pengambilalihan ini adalah lebih kurang RM11.4 bilion,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin depan.

-BERNAMA