Categories
SELANGOR

20 OKU terima tajaan Job Placement

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 NOV: Seramai 20 Orang Kurang Upaya (OKU) menerima tajaan melalui program Job Placement, kata Exco Kesihatan, Kebajikan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi.

Dr Daroyah (KEADILAN-Sementa),berkata mereka diberi peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang kulinari selama enam bulan membabitkan tiga bulan pembelajaran dan selebihnya latihan praktikal.

Katanya, pelajar disalurkan dalam bidang perhotelan, restoran atau katering terpilih dan dipantau secara berkala selepas tamat pengajian.

yb daroyah -edit 1“Begitu juga dengan program di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKMNS) iaitu Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Job Coach.

“Dua program ini memberi peluang OKU mempelajari, menerima latihan kemahiran asas dan pemulihan, seterusnya mendapat pekerjaan bersesuaian dengan pasaran kerja,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Yaakob Sapari (KEADILAN-Kota Anggerik) berhubung program kebajikan disediakan untuk OKU Selangor.

Daroyah berkata, tahun ini RM270,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi melaksanakan program bantuan terhadap OKU mendapatkan kemahiran dan pembelajaran.

“Kita juga menyediakan pelbagai bantuan melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan, Jawatankuasa Tetap Kemiskinan, Jawatankuasa Tetap Pembangunan Pertanian dan beberapa jabatan lain.

“Walaupun bantuan ini terbuka kepada semua golongan dan lapisan masyarakat, namun keutamaan diberikan kepada OKU mengikut kesesuaian,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.