Categories
SELANGOR

LKAN: Selangor catat surplus RM111.9 juta

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 NOV: Selangor mencatatkan kedudukan kewangan baik pada 31 Disember 2014 dengan surplus RM111.94 juta berbanding defisit berjumlah RM90.45 juta pada 2013.

Hasil analisis kewangan Jabatan Audit Negara (Audit) mendapati, baki Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM3.20 bilion meningkat RM293.80 juta (10.1 peratus) berbanding RM2.91 bilion pada 2013.

Laporan LKANPelaburan dan kutipan hasil turut mencatatkan meningkat RM545.32 juta (21.2 peratus) dan RM75.11 juta (3.5 peratus).

Baki Pinjaman Boleh Dituntut pada 2014 meningkat 2.8 peratus berbanding 2013 tetapi tunggakan bayaran balik Pinjaman Boleh Dituntut menurun  9.2 peratus.

“Hutang Awam meningkat 8.4 peratus pada 2014 namun tunggakan bayaran balik Hutang Awam menurun 28.8 peratus. Kerajaan Negeri disarankan mengamalkan perbelanjaan berhemat berterusan dan berbelanja mengikut keperluan.

Audit LKAN“Selain itu, usaha perlu dipertingkatkan mengutip Pinjaman Boleh Dituntut dan tunggakan hasil bayaran balik pinjaman atau hutang lain daripada jabatan kerajaan supaya kedudukan kewangan berada dalam keadaan kukuh,” katanya dalam Laporan Ketua Audit Negeri Selangor 2014 Siri 3.

Dari segi rancangan pembangunan, Kerajaan Negeri mencatatkan prestasi baik apabila 90.7 peratus daripada peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) yang diluluskan bagi 2014 sudah dibelanjakan.

Selain itu, prestasi perbelanjaan peruntukan pembangunan bagi empat tahun pertama RMK-10 adalah 89 peratus daripada siling peruntukan pembangunan.

“Bagaimanapun, prestasi pelaksanaan projek perlu dipertingkatkan kerana sehingga 31 Disember 2014, hanya 228 projek (36.8 peratus) disiapkan manakala 247 projek (39.8 peratus) dalam pelaksanaan atau perancangan dan 76 projek (12.3 peratus) masih belum mula.

“Perancangan dan pelaksanaan projek pembangunan yang cekap dan berkesan hendaklah diberi perhatian bagi meningkatkan kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.