Categories
SELANGOR

Akademi Bola Sepak PNSB tekad cipta pemain bertaraf bintang

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 5 NOV: Penstrukturan semula Akademi Bola Sepak PNSB diyakini mampu melahirkan pemain bola sepak berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.

Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Saari mewakili Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata program terbabit diharap mampu merealisasikan hasrat melahirkan ramai atlet berbakat dan berkualiti dalam sukan itu.

Katanya, kejayaan akademi membentuk pasukan PNSB FC hingga menjuarai Liga Super FAS dua tahun berturut-turut adalah bukti keberkesanan program.

YOUNG STARZ“Ia bukan sekadar riadah dan kecergasan, malah dapat melahirkan pemain bolasepak muda dinamik, berdisiplin dan cemerlang.

“Pelatih Akademi Bola Sepak PNSB diserapkan ke dalam pasukan PNSB FC berjaya menyumbang kejuaraan Liga Super FAS dua tahun berturut-turut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran PNSB Young Stars dan Pertandingan Bola sepak Jemputan PNSB 2015 di sini, baru-baru ini.

Penstrukturan semula Akademi Bola Sepak PNSB berusia hampir 10 tahun itu meliputi perubahan dari segi struktur organisasi, sistem kejurulatihan, manual latihan serta pendekatan dalam melahirkan pemain bolasepak yang baik.

PNSB FC di bawah naungan Kelab Bola Sepak PNSB menjadi juara dua tahun berturut-turut pada 2014 dan 2015 di dalam Liga Super FAS dan sebahagian daripada pemainnya adalah bekas pelajar Akademi Bola Sepak PNSB.

“Ia jelas berjaya melahirkan pemain berkualiti dan berkemahiran serta menjadi medan terbaik mencungkil bakat pemain untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi lagi,” katanya.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.