Categories
SELANGOR

Azmin lengkapkan lawatan kerja di Jakarta

Oleh: AFEEQA AFEERA

JAKARTA, 25 NOV: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali melengkapkan lawatan kerjanya di Jakarta dengan menghadiri forum dan bertemu pemimpin tempatan.

Beliau yang segak berbaju batik biru menyampaikan ucaptama pada persidangan Forum Dunia untuk Muslim Demokrat kali kedua yang berlangsung di Hotel Le Meridien, Jakarta, Indonesia.

Ucapannya itu mewakili, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan diiringi delegasi Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang.

IMG_1811aMohamed Azmin berkata, forum itu dicetuskan Anwar untuk menghimpunkan muslim demokrat seluruh dunia bagi membahaskan isu semasa yang dihadapi masyarakat Islam hari ini.

“Kita melihat bagaimana Islam hari ini menjadi sasaran pihak yang cuba mempamerkan Islam sebagai bukan agama sederhana selain dapat mengharmonikan kesejahteraan umat keseluruhannya.

“Kita gembira kerana usaha yang dicetuskan Anwar menghasilkan gabungan dan gerakan muslim demokrat seluruh dunia.

“Persidangan ini bukan sahaja dihadiri masyarakat Islam, tetapi tokoh akademik bukan Islam untuk melihat bagaimana kita mewujudkan sikap sederhana dan melawan keganasan yang sedang berleluasa dalam situasi politik semasa,” katanya kepada Selangor Kini.

Mohamed Azmin kemudiannya meneruskan lawatan kerja ke Dewan Perwakilan Daerah (DPD) Republik Indonesia di Gambir untuk bertemu Senator Imran Gusman bagi bertukar idea dan pandangan.

Katanya, antara isu yang dibincangkan adalah kerjasama pembangunan dua hala antara Selangor dan Pulau Pinang dengan Indonesia membabitkan pelancongan, kesihatan dan pendidikan.

“Kita mahu Selangor dan Pulau Pinang bukan hanya menjadi negeri dalam Malaysia, tetapi bersifat serantau dengan mewujudkan kerjasama dua hala ini,” katanya.

gabenor indonesiaLawatan kemudiannya diakhiri dengan melakukan kunjungan hormat ke pejabat Gabenor Jakarta, Ir Basuki Tjahaja Purnama, tokoh muda yang memiliki keupayaan mentadbir bandar raya besar.

Mohamed Azmin dan Basuki mengambil masa kira-kira setengah jam untuk berbincang dan berkongsi pengalaman masing-masing dalam pentadbiran negeri.

Beliau berkata, antara perkara ditegaskan pemimpin Jakarta itu adalah usaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada politik dan membuktikan kesungguhannya berkhidmat kepada rakyat.

“Beliau menunjukkan contoh baik untuk mengurangkan birokrasi dalam pentadbiran dengan memotong anggaran perbelanjaan mengurus yang membazir dan tidak memberi manfaat kepada rakyat.

“Keupayaan beliau dalam perkhidmatan memberi kesan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam. Pengalaman beliau menjadi dorongan kepada anak muda untuk memastikan amanah perlu dilaksanakan sebaiknya,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.