Categories
AGENDA GLOBAL

MB doakan Gabenor Jakarta sembuh segera Covid-19

SHAH ALAM, 1 DIS: Dato’ Menteri Besar mendoakan supaya Gabenor Jakarta, Anies Baswedan sembuh daripada Covid-19.

“Menerima khabar sahabat saya, Anies Baswedan yang disahkan positif Covid-19. Doa kami di Selangor agar bapak kekal kuat dan dikurniakan kesembuhan segera,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitternya.

Terdahulu dilaporkan Anies dan Timbalannya, Ahmad Riza Patria turut dijangkiti Covid-19 ketika provinsi itu terus mencatatkan peningkatan kes positif yang semakin membimbangkan.

Gabenor Jakarta itu disahkan positif, selepas dua hari Ahmad Riza disahkan dijangkiti virus berkenaan.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia semalam, Jakarta menjadi provinsi yang mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi di republik itu dengan 136,861 kes.

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Jakarta kembali kuat kuasa Pembatasan Sosial Berskala Besar

JAKARTA, 13 SEPT: Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) kembali dikuatkuasakan di Jakarta selama dua minggu mulai esok berikutan kes positif Covid-19 yang meningkat semakin mendadak di provinsi itu.

Gabenor Jakarta Anies Baswedan dalam sidang media menerusi laman Youtube rasmi pemerintah Jakarta hari ini berkata secara prinsipnya PSBB itu mewajibkan warga Jakarta kembali melakukan banyak kegiatan harian di rumah, termasuk bekerja, belajar dan beribadat.

PSBB dikuatkuasakan di provinsi Jakarta buat pertama kali pada 31 Mac lepas, namun pemerintah Jakarta membenarkan kembali beberapa aktiviti sosioekonomi menerusi fasa transisi PSBB bermula 5 Jun lepas, setelah kes virus itu berkurangan.

Namun sejak akhir Ogos lepas, kes positif baharu di provinsi Jakarta berterusan meningkat pada kadar purata hampir 1,000 kes setiap hari.

Antara peraturan PSBB itu adalah hanya 11 sektor yang dibenarkan pekerjanya berada di pejabat, antaranya sektor kesihatan, perbankan, komunikasi dan makanan.

Orang ramai dilarang berkumpul melebihi lima orang, dan mereka yang tidak memakai pelitup mulut, hidung, di luar rumah akan dikenakan denda Rp250,000 (RM75), manakala rumah-rumah ibadat serta pusat rekreasi dan pelancongan kembali ditutup, pegehadan penggunaan pengangkutan awam serta larangan makan di restoran, iaitu hanya dibenarkan pembelian untuk dibawa pulang.

Mengikut perangkaan, kes positif virus itu di Jakarta meningkat mendadak, dan berdasarkan data, pada 31 Ogos lepas kes positif keseluruhan dicatatkan 39,280 dan kes positif keseluruhan pada hari ini telah meningkat kepada 54,220.

Berdasarkan data yang disiarkan di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenan Covid-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 3,636 kes positif baharu dicatatkan di seluruh Indonesia, menjadikan jumlah kes keseluruhan di republik itu kini meningkat kepada 218,382 kes.

Provinsi Jakarta mencatatkan kes positif tertinggi (54,220) dengan tambahan 1,380 kes positif baharu, serta jumlah kematian keseluruhan sebanyak 1,391 orang.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 73 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kumulatif di republik itu kini 8,723 orang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Kes Covid-19 di Jakarta melebihi 1,000 sehari

JAKARTA, 31 OGOS: Kes positif baharu Covid-19 di Jakarta direkod melebihi angka 1,000 kes untuk tempoh dua hari berturut-turut sejak semalam, menjadikan provinsi itu kini mencatatkan kes positif keseluruhan berjumlah 40,086 kes.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, Prof Wiku Adisasmito dalam sidang medianya yang disiarkan di youtube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) berkata, 1,049 kes positif baharu direkodkan di Jakarta dalam tempoh 24 jam lepas, selepas mencatatkan 1,094 kes positif baharu pada hari sebelumnya.

Beliau berkata pemerintah Jakarta perlu lebih tegas dalam menguatkuasakan peraturan yang ditetapkan menerusi Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) fasa transisi di Jakarta, yang antaranya mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam, penjarakan fizikal di tempat awam dan kerja serta rumah ibadat.

Bagi jumlah kes positif keseluruhan di Indonesia, kes positif virus itu kini meningkat kepada 174,796 iaitu tambahan sebanyak 2,743 kes.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini itu juga, sebanyak 74 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian keseluruhan di Indonesia kini 7,417 orang.

Provinsi Jawa Timur menjadi provinsi kedua tertinggi kes positif virus itu iaitu 33,543 kes. Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 2,370 orang, diikuti Jakarta (1,198), Jawa Tengah (998), Sulawesi Selatan (360) dan selebihnya di wilayah lain di Indonesia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Pembatasan sosial lebih ketat di Jakarta sehingga 23 April

JAKARTA, 10 APRIL: Perintah pembatasan sosial berskala besar (PSBB) di Kota Jakarta diperketatkan lagi bermula hari ini sehingga 23 April, bagi mengekang pandemik Covid-19.

Antara arahan baharu berkaitan PSBB itu ialah penunggang motosikal perkhidmatan pengangkutan dalam talian seperti Gojek dan Grab, tidak lagi dibenarkan membawa penumpang.

Tiada angka tepat, namun dianggarkan terdapat lebih 1.2 juta pemandu perkhidmatan pengangkutan dalam talian di Jakarta dan kota sekitarnya, dan bermula hari ini hanya boleh menjalankan perkhidmatan penghantaran barang atau makanan sahaja.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan dalam satu kenyataan berkata, bermula hari ini juga, pengangkutan awam dan persendirian dibataskan jumlah penumpang tidak melebihi 50 peratus daripada kapasiti jumlah penumpang kenderaan itu.

Orang ramai juga tidak lagi dibenarkan makan atau minum di restoran atau kedai makan, dan mereka hanya dibenarkan membungkus makanan sahaja.

Mereka yang berada di luar rumah juga diwajibkan memakai penutup mulut dan hidung, manakala penunggang motosikal persendirian atau perkhidmatan pengangkutan dalam talian, diwajibkan juga memakai sarung tangan.

Mereka yang ingkar arahan berkenaan boleh dikenakan denda maksimum Rp100 juta (hampir RM30,000) dan hukuman penjara maksimum satu tahun.

Kes kematian akibat pandemik COVID-19 di Indonesia setakat semalam meningkat kepada 280 kes, dengan jumlah tertinggi kematian berlaku di Jakarta iaitu 142 kes.

Meskipun tiada larangan keluar rumah, Kota Jakarta serta kota-kota berhampirannya yang berpenduduk lebih 30 juta orang itu, tetapi ia “sepi” sejak 16 Mac lepas, selepas beberapa langkah secara berperingkat-peringkat dilaksanakan seperti penutupan sekolah, tempat ibadat, pusat pelancongan, pusat hiburan serta arahan bekerja dari rumah bagi sektor tidak kritikal, larangan berhimpun atau berkumpul, pembatasan penggunaan pengangkutan awam, selain kempen “duduk di rumah”.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Korban banjir di Jakarta meningkat 30 orang

JAKARTA, 3 JAN: Angka korban akibat banjir yang melanda Jakarta sejak 1 Januari lalu, meningkat kepada 30 orang setakat ini.

Walaupun keadaan banjir semakin pulih hari ini, namun lebih 60,000 orang dilaporkan masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), jumlah mangsa banjir berkenaan adalah berdasarkan perangkaan setakat 9 malam tadi dan mereka yang terkorban adalah akibat lemas dihanyut arus deras, tertimbus tanah runtuh, terkena renjatan elektrik dan mengalami hipotermia.

Selain beberapa kawasan di ibu kota Jakarta, beberapa kawasan di kota berhampiran Jakarta seperti Tangerang, Depok, Bekasi dan Bogor turut mengalami banjir berikutan hujan lebat pada awal pagi Rabu lepas.

“BNPB meminta penduduk yang rumah mereka masih dinaiki air berpindah ke tempat selamat berikutan hujan lebat diramalkan terus berlaku dan dibimbangi air akan naik mendadak,” kata Ketua Pusat Data, Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Agus Wibowo dalam satu kenyataan.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam kenyataan menyatakan antara punca banjir adalah disebabkan hujan lebat ekstrem yang mencatatkan bacaan 377 milimeter (mm), sedangkan rekod tertinggi sebelum ini adalah pada 2007 dengan bacaan 340 mm.

BMKG turut menyatakan hujan lebat diramalkan berlaku sehingga 10 Jan ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

16 maut banjir di Jakarta

JAKARTA, 2 JAN: Sebanyak 16 orang dilapor menjadi korban banjir di Jakarta dan bandar berhampiran, sejak semalam.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), sehingga 8 pagi ini, lebih 30,000 mangsa banjir dilapor masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara berikutan kawasan penempatan mereka dinaiki air sehingga dua meter.

Selain beberapa Jakarta, beberapa kawasan berhampiran seperti Tangerang, Depok, Bekasi dan Bogor, turut mengalami banjir semalam berikutan hujan lebat pada awal pagi tahun 2020.

“Terdapat 16 orang meninggal akibat banjir dengan perinciannya di Jakarta seramai lapan orang, Kota Bekasi (seorang), Kota Depok (tiga), Kota Bogor (1), Kabupaten Bogor (1), Kota Tangerang (1), dan Tangerang Selatan (1),” kata Ketua Pusat Data, Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Agus Wibowo dalam satu kenyataan.

Salah sebuah keluarga mangsa meninggalkan kediaman yang dimasuki air menggunakan pelampung susulan banjir di Jakarta sejak semalam. Foto AFP

Mereka yang meninggal itu antaranya mengalami hipotemia, lemas dihanyutkan arus, tertimbus akibat tanah runtuh dan terkena renjatan elektrik.

Menurut BNPB, beberapa kawasan banjir di Jakarta sudah beransur pulih, namun masyarakat diminta berjaga-jaga berikutan hujan diramalkan berlaku sehingga Khamis ini.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam satu kenyataan menyatakan antara punca banjir itu adalah hujan lebat ekstrem yang mencatatkan bacaan 377 milimeter (mm), sedangkan rekod tertinggi pada 2007 mencatatkan bacaan 340 mm.

Menurut twitter rasmi Traffic Management Center Polis Daerah Metro Jaya (Jakarta), beberapa jalan utama di Jakarta masih tidak dapat digunakan kerana digenangi air, antaranya di Simpang Cempaka Mas, Jalan S Parman, Jalan Rasuna Said, Jalan Pemuda Rawamangun dan Jalan Gatot Subroto.

Lapangan terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur yang tidak dapat beroperasi pagi semalam kerana landasan di lapangan terbang itu digenangi air, juga dijangka kembali beroperasi sepenuhnya hari ini.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta meminta rakyat Malaysia di Jakarta dan kawasan sekitar mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan jika memerlukan sebarang bantuan konsular, boleh menghubungi kedutaan Malaysia di talian ‭+62 813 80813036‬.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Beberapa kawasan di Jakarta dilanda banjir

JAKARTA, 1 JAN: Beberapa kawasan di Jakarta hari ini dilanda banjir berikutan hujan lebat sejak semalam, menyaksikan jalan raya utama di ibu kota dinaiki air sehingga satu meter.

Perkhidmatan komuter dan kereta api turut terjejas akibat landasan ditenggelami air sehingga lebih satu meter.

Keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menutup bekalan elektrik di kawasan tertentu bagi memastikan keselamatan penduduk.

Menurut twitter rasmi Traffic Management Center Polis Daerah Metro Jaya (Jakarta), kawasan yang dilanda banjir adalah Jakarta Selatan, Jakarta Pusat dan Jakarta Timur.

Menurut kenyataan Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia pula, kota berhampiran Jakarta seperti Bekasi, Tangerang dan Depok, turut mengalami banjir membabitkan kawasan penempatan rendah.

Badan Meteorologi, Klimatologi, Geofisika dalam satu kenyataan berkata hujan lebat di Jakarta diramal berterusan selama tiga hari dan dibimbangi akan memburukkan lagi keadaan banjir.

Menurut media tempatan, lapangan terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur juga tidak dapat beroperasi sejak pagi tadi berikutan landasan digenangi air.

Pengurus Besar Eksekutif Bandara Halim Perdanakusuma, Nandang Sukarna berkata semua penerbangan pagi ini dialihkan ke Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Jakarta dan hampir seluruh Pulau Jawa terputus bekalan elektrik

JAKARTA, 4 OGOS: Kota Jakarta dan beberapa provinsi lain di Pulau Jawa terputus bekalan elektrik sejak 12 tengah hari tadi.

Menurut kenyataan Perusahaan Listrik Negara (PLN) Indonesia seperti dipetik media tempatan, bekalan elektrik terputus berikutan masalah berkaitan loji kuasa elektrik di tengah dan barat Pulau Jawa.

Berdasarkan laporan media tempatan, bekalan elektrik turut terputus dihampir keseluruhan Pulau Jawa.

Kawasan yang terjejas selain Jakarta adalah Bandung, Bekasi, Cianjur, Cimahi, Cirebon, Garut, Karawang, Purwakarta, Majalaya, Sumedang, Tasikmalaya, Depok, Gunung Putri, Sukabumi, dan Bogor.

Setakat 3 petang ini, belum terdapat maklumat bekalan elektrik itu akan pulih.

Keadaan itu menyebabkan perkhidmatan kereta api elektrik, komuter dan MRT di Jakarta lumpuh, manakala perkhidmatan internet dan jaringan telekomunikasi turut mengalami gangguan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada rakyat Malaysia terbabit rusuhan di Jakarta

 

TEMERLOH, 24 Mei:Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam siri rusuhan pasca pilihan raya Indonesia di sekitar Jakarta sejak kelmarin.

Beliau berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di ibu negara itu dan memberi jaminan kementeriannya akan terus mengikuti perkembangan semasa di negara itu.

“Kita berharap keadaan akan segera pulih seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Iftar Perdana Ramadan Persatuan Penggerak Muafakat Pahang, di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Indonesia supaya menjauhi kawasan-kawasan tumpuan peserta demonstrasi seperti Tanah Abang, Tamrin, Sabang dan Menteng.

Media sebelum ini melaporkan enam terkorban dan 200 lagi cedera dalam rusuhan di Indonesia yang dipercayai berpunca daripada demonstrasi membantah keputuan Pilihan Raya Presiden Indonesia.

Pada perkembangan lain, Saifuddn memberi jaminan kerajaan akan membantu rakyat Malaysia, P, Pannir Selvam, 32, mendapat nasihat guaman terbaik untuk mencabar proses pengampunan terhadap hukuman mati ke atasnya di Singapura.

Saifuddin mengesahkan beliau telah berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen), Datuk Liew Vui Keong dan mencapai persetujuan supaya Liew menangani kes berkenaan.

Semalam, media melaporkan Mahkamah Rayuan Singapura membenarkan permohonan Pannir Selvam untuk menangguhkan hukuman mati yang dihadapinya dan membolehkan beliau mencabar proses pengampunan.

Pannir Selvam dijatuhkan hukuman itu pada 27 Jun 2017 oleh Mahkamah Tinggi negara itu kerana mengedar 51.84 gram diamorphine di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada 3 Sept 2014. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jakarta kembali tenang

 

JAKARTA, 24 Mei: Kota Jakarta, yang tegang akibat demonstrasi dan rusuhan selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Presiden (Pilpres 2019) Selasa lepas, kini kembali tenang dengan penduduknya beraktiviti seperti biasa.

Perkhidmatan pengangkutan umum, premis peniagaan dan komersial di Tanah Abang, Jalan MH Thamrin, Jalan Sabang, dan Jalan KH Wahid Hasyim, lokasi berlakunya rusuhan itu, kembali beroperasi hari ini.

Namun, jalan MH Thamrin dan Jalan Imam Bonjol yang menempatkan bangunan Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) dan Komisi Pemilihan Umum (KPU) masih ditutup kepada lalu lintas, dengan anggota polis dan tentera masih melakukan kawalan ketat di kawasan berkenaan.

Ketua Divisyen Hubungan Masyarakat Polis Indonesia, M Iqbal dalam satu kenyataan berkata, tujuh perusuh terbunuh dan sembilan anggota keselamatan, cedera dalam beberapa siri rusuhan itu.

“Yang harus diketahui publik bahwa yang meninggal dunia adalah massa perusuh. Bukan massa yang sedang berjualan, massa yang beribadah, tidak,” katanya. -BERNAMA

Categories
GLOBAL

Rusuhan Jakarta bukan ‘demonstrasi massa spontan’, kata polis

JAKARTA, 22 MEI: Polis mendakwa beberapa siri rusuhan di sekitar Jakarta awal pagi tadi dilakukan secara terancang oleh kelompok tertentu, yang membantah keputusan Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres 2019).

Gabernor Jakarta, Anies Baswedan yang pro kepada calon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang kalah pada Pilpres itu, mendakwa enam orang terbunuh, manakala 200 dilaporkan cedera dalam insiden terbabit.

“Setakat jam 9 pagi tadi, enam terbunuh, 200 cedera,” katanya dipetik media tempatan.

Bagaimanapun, Ketua Divisyen Perhubungan Masyarakat Polis Indonesia, M Iqbal, tidak mengesahkan perkara itu, sebaliknya berkata polis masih menyiasat dakwaan berkenaan.

“Demonstrasi di beberapa tempat sejak lewat malam tadi sehingga awal pagi ini, bukanlah ‘demostrasi massa spontan’ tetapi dilakukan sekelompok kira-kira 200 orang secara terancang bagi menjejaskan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kejadian rusuhan itu berlaku di sekitar Jakarta antara 11 malam tadi sehingga 5 pagi tadi, dengan kelompok perusuh berkenaan melontarkan batu, “molotov coctail” dan mercun kepada pasukan keselamatan yang meminta mereka bersurai.

Kejadian rusuhan itu berlaku di sekitar Jalan MH Thamrin, Jalan Jatinegara hingga ke kawasan Tanah Abang.

M Iqbal berkata polis bertindak menyuraikan perusuh dengan menggunakan gas pemedih mata, dan menafikan menggunakan peluru hidup, seperti yang tersebar dalam media sosial.

“Perusuh itu kita dapati bukan asal Jakarta, tetapi dari luar Jakarta, dari Jawa Barat, dan terdapat sebuah ambulan ditahan yang tertera logo parti (tidak dinamakan), yang penuh dengan batu, polis bertindak melepaskan gas pemedih mata, ada perusuh cedera tapi belum ada datanya,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 14 kenderaan juga dibakar perusuh dalam kejadian rusuhan pagi tadi, dan polis telah menangkap hampir 100 perusuh.

Sehingga tengah hari ini, keadaan di Jakarta masih terkawal dengan lebih 50,000 anggota polis dan tentera mengawal tempat- tempat strategik di Jakarta.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, meminta rakyat Malaysia yang berada di Jakarta, mengelak daripada berada di kawasan yang terjejas.

“Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mematuhi sebarang arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.

Bagi rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular kecemasan di Indonesia, diminta hubungi talian: +62215224947 /+6281380813036 (selepas waktu pejabat).

-BERNAMA

Kredit foto: Tempo.co

Categories
GLOBAL

Tiada rakyat Malaysia terlibat insiden di Jakarta

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Wisma Putra mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam dua insiden letupan bom di Terminal Bas Kampung Melayu, Jakarta Timur, Indonesia malam tadi.

Kementerian Luar dalam kenyataan berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang memantau rapi insiden itu dengan pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia yang berada di kawasan kejadian adalah dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan melaporkan diri dengan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, ” katanya.

Sementara itu, Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) berasa sedih dan bersimpati dengan kejadian pengeboman di Indonesia itu.

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa, berkata pihaknya juga bimbang dengan insiden pengepungan di Bandar Marawi di Filipina oleh kumpulan Maute yang ada kaitan dengan militan Daesh merampas dewan bandar raya, membebaskan banduan penjara dan membakar tempat ibadat.

Sehubungan itu, katanya, GMMF berdoa dan menzahirkan rasa simpati kepada rakyat dan pemimpin di Indonesia serta Filipina.

“Serangan kejam oleh pengganas ini, yang hadir dalam tempoh singkat selepas berlaku insiden pengeboman nekad di Manchester Isnin lalu, menunjukkan kepentingan meneruskan gerakan kesederhanaan global dalam mempromosikan suara keamanan dan kesederhanaan,” katanya.

*Sumber: BH Online