Categories
SELANGOR

Banjir Kuala Selangor: 581 mangsa masih di enam pusat pemindahan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 22 NOV: Seramai 581 mangsa banjir daripada 123 keluarga masih ditempatkan di enam pusat pemindahan, setakat jam 11 pagi tadi.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badlisza Mohd Noor, berkata walau bagaimanapun, keadaan banjir di Kuala Selangor itu beransur pulih hari ini berbanding jam 7 petang, semalam.

pray ksKatanya, pusat penempatan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Parit Mahang masih mencatatkan jumlah mangsa teramai dengan 405 mangsa daripada 75 keluarga.

“Manakala, Masjid Simpang Tiga Jeram mempunyai 29 mangsa, Balai Raya Kampung Bukit Kuching seramai 52 mangsa dan Balai Raya Kampung Bukit Cherakah seramai 32 mangsa.

“Selain itu, Balai Raya Kampung Bukit Hijau seramai 34 mangsa dan Surau Ladang Tuan Mee seramai 29 orang,” katanya kepada Selangor Kini ketika dihubungi.

Semalam, seramai 950 mangsa daripada 199 keluarga terbabit dalam bencana banjir itu dan seramai 218 dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setakat jam 7 petang.

Shamsul berkata Jabatan Pengairan dan Saliran negeri (JPS) sedang mengepam keluar air banjir ke dalam Sungai Buloh.

Katanya, sebuah pam lagi dipasang di Kampung Simpang Jeram Tiga, hari ini.

“Pada masa ini terdapat tujuh buah pam yang sedang beroperasi,” katanya.

Beliau berkata pihaknya bersama beberapa agensi lain bersiap sedia sebarang kemungkinan yang berlaku.

“Selain itu, JPS sedang giat membersihkan parit di kawasan yang sering berlaku banjir atau kawasan rendah seperti Kampung Parit Mahang,” katanya.

Setakat jam 9 pagi tadi paras air di Rantau Panjang berada di tahap bahaya iaitu 7.54 meter.

Manakala, Parit Mahang dalam keadaan berjaga-jaga iaitu 3.84 meter dan taburan hujan pula 1.00 milimeter.

Selain itu, Sri Aman pula dalam keadaan berjaga-jaga iaitu 5.67 meter.

Leave a Reply

Your email address will not be published.