Oleh: NORHAYATI UMOR
SHAH ALAM, 19 NOV: Pelapis bagi sukan lumba basikal perlu digilap bermula dari peringkat sekolah dan daerah supaya Selangor dapat melahirkan bakat muda dalam sukan terbabit.
Bekas pelumba basikal negara, Shaharudin Jaffar, berkata usaha itu perlu digiatkan dan didokong lapisan masyarakat selain peruntukan pembangunan besar oleh Kerajaan Negeri wajar digunapakai dalam sukan itu.
“Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah yang besar untuk pembangunan sukan di negeri itu, jadi sukan ini tidak wajar diabaikan.
“Saya menyambut baik usaha beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Peransang Selangor yang memberi peluang ia digilap di negeri ini.
“Namun, saya rasa usaha perlu dilipat gandakan dari peringkat sukan dan daerah secara lebih mendalam serta berkesan,” katanya kepada Selangor Kini.
Shaharudin berkata, sukan berbasikal tidak memerlukan kemudahan yang begitu eksklusif untuk atlet atau bakat muda berlatih.
“Veladrom juga tidak perlu ada di negeri ini buat masa sekarang kerana sudah di Kuala Lumpur. Kita ada padang rumput, jalan raya atau kawasan lapang jadi tiada masalah untuk bakat muda ini dilatih.
“Sekarang, ‘mountain bike’ dah jadi trend. Jadi, usaha ini perlu dilaksanakan di semua peringkat,” katanya.
Beliau berkata, anak muda kini menunjukkan minat dalam bidang sukan itu, namun tiada didikan yang serius daripada pihak bertanggungjawab.
“Mereka perlu diberi latihan oleh pihak bertanggungjawab secara lebih serius yang mempunyai pengalaman dalam bidang ini. Jurulatih perlu membantu pelumba ini supaya mereka tahu matlamat apa yang mereka mahu. Adakah suka-suka atau mahu ke peringkat lebih tinggi. Jadi, kita perlu fokus lahirkan mereka ini.
“Berat untuk diluahkan. Sekarang banyak pertandingan antarabangsa dipertandingkan berbanding saya dulu. Sungguhpun ada satu dua pelumba yang diketengahkan tapi saya rasa masih belum cukup,” katanya.
-NFN-