Oleh: AFEEQA AFEERA
KUALA LUMPUR, 18 NOV: Penjualan aset syarikat tenaga, Edra Global Energy Bhd (Edra) kepada pelabur asing dijangka membawa kesan kenaikan tarif elektrik di negara ini.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, berkata ia ekoran aset dimiliki 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu akan melupuskan pegangannya dalam Edra sehingga 100 peratus.
Katanya, hasrat Kerajaan Persekutuan itu bertentangan dengan peraturan sedia ada yang menghadkan pegangan ekuiti pelabur asing dalam sektor penjanaan tenaga 49 peratus.
“Berdasarkan jawapan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Husni Hanadzlah pada 16 November lalu, kerajaan memang membuat keputusan untuk membatalkan had pegangan ekuiti kepada syarikat asing bagi membolehkan bidaan lebih tinggi dipertimbangkan.
“Perjanjian Jualbeli Tenaga (PPA) bagi konsesi di bawah 1MDB/Edra akan dirunding semula pada 2016 dan 2020 serta menteri memberi gambaran bahawa kerajaan cenderung membenarkan syarikat asing mengambil alih aset tenaga milik 1MDB/Edra,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Pada masa sama, Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR turut melahirkan kembimbangan apabila perjanjian PPA dirundingkan kembali yang akan memberi terma kewangan memihak kepada syarikat asing.
Katanya, langkah itu akan menyebabkan syarikat asing memiliki pulangan selepas membayar harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran.
“Oleh kerana rundingan PPA adalah rahsia dan tidak pernah didedahkan kepada rakyat, ada risiko besar bahawa syarikat asing boleh sahaja membida pada harga tinggi sekarang.
“Dengan harapan PPA yang dirunding semula memberi terma harga elektrik lebih tinggi tanpa diketahui rakyat,” katanya.
-NFN-