Categories
NASIONAL

Kenyataan ‘cari makan’, Pengerusi PAC perlu letak jawatan

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Arifin perlu meletak jawatan serta-merta jika benar mengeluarkan kenyataan ‘cari makan’ berkenaan 1MDB.

Saranan itu dinyatakan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo; Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mewakili Pakatan Harapan.

Gobind berkata, Hasan jelas tidak mampu berperanan sebagai Pengerusi PAC dan kenyataannya itu memberi kesan kepada Dewan Rakyat.

“Saya menggesa Pengerusi PAC berundur jika benar berkata tidak perlu memanggil Datuk Seri Najib Razak untuk memberi keterangan isu 1MDB atas sebab hendak cari makan.

“Rakyat harap Pengerusi PAC bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih, tanpa pengaruh sesiapa dan efisyen,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Hanipa berkata, kenyataan Hasan untuk tidak memanggil Perdana Menteri bagi memberi keterangan isu 1MDB disifatkan tidak adil.

Beliau turut menggesa PAC supaya memanggil semua pihak yang mempunyai kaitan dengan syarikat kontroversi itu untuk memberi kenyataan.

“Najib secara jelas terbabit dengan 1MDB, jadi tak adil jika tidak memanggil beliau dan ini akan menggugat kredibiliti PAC,” katanya.

Hal sama turut disokong Johari yang menyatakan seluruh negara menunggu tindakan PAC selepas siasatan berkenaan 1MDB ditangguh sebelum ini.

“Komen daripada Pengerusi PAC adalah pelik kerana walaupun bersifat peribadi, saya tidak menjangka ia mendapat persetujuan anggota lain. Sebagai pengerusi, tidak profesional untuk jawab saya nak cari makan kerana ini adalah Parlimen bukan syarikat sendirian berhad,” katanya.

Portal Malaysia Kini melaporkan kenyataan Hasan bahawa PAC tidak perlu Najib untuk memberi keterangan berkenaan isu 1MDB.

“Tak perlu,” kata Ahli Parlimen Rompin itu apabila ditanya media langkah selanjutnya yang diambil PAC menyiasat kes syarikat tajaan kerajaan itu.

Apabila diasak lebih lanjut, Hassan berkata: “Jangan la, saya pun nak cari makan juga.”

Kenyataan itu dibuat apabila beliau dimaklumkan Pengerusi PAC terdahulu Datuk Nur Jazlan Mohamed mengakui mungkin memanggil Najib membantu siasatan isu 1MDB jika dirasakan perlu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.