Categories
SELANGOR

Ops Pecah Tanjakan kesan 7 premis salah guna petak pakir

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 NOV: Sebanyak tujuh premis dikenakan tindakan dalam Operasi Pecah
Tanjakan (Ramp) ekoran membina tanjakan tanpa kebenaran di Seksyen 33, di sini, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad, berkata semua mereka didapati menyalahgunakan tempat letak kereta untuk tujuan perniagaan.

Katanya, tanjakan haram itu dimusnahkan dengan menggunakan jentera ‘excavater’ dalam operasi yang disertai sepuluh kakitangan Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Pelesenan.

SHARIN AHMAD“MBSA memohon pemilik premis yang ingin menggunakan tempat letak kereta bagi tujuan perniagaan untuk membuat permohonan sewaan petak khas terlebih dahulu.

“Tindakan tegas termasuk memecahkan tanjakan akan dikenakan kepada pemilik premis yang ingkar dan membina tanjakan haram di hadapan premis mereka tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, penggunaan tempat letak kereta tanpa kebenaran untuk tujuan perniagaan
merupakan kesalahan di bawah peruntukan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (Akta 133).

Katanya, terdapat 20 kategori perniagaan dibenarkan memohon sewaan tempat letak kereta khas untuk tujuan perniagaan.

“Antaranya kedai membaiki kereta atau motosikal, kedai menjual aksesori kereta atau motosikal, kedai perabot, klinik, ruang pameran kereta atau motosikal, pasaraya atau kedai runcit yang memerlukan ruang pemunggahan barang,” katanya.

Sebarang pertanyaan berkenaan sewaan petak letak kereta khas, orang ramai boleh hubungi Seksyen Pengurusan Hasil, Jabatan Kewangan MBSA di talian 03-5522 2882.

Leave a Reply

Your email address will not be published.