Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 21 NOV: Pelan Induk Pertanian Selangor 2016 akan tertumpu kepada aspek penggunaan teknologi moden dan kebajikan petani.
Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata pelan itu juga bertemakan ‘Memacu Smart Agro Yang Peduli’.
Katanya, semua kerangka kerja sudah disiapkan dan akan dibentangkan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum dilaksanakan.
“Kita akan memacu penggunaan teknologi moden dalam pembangunan pertanian Selangor walaupun sudah ke hadapan berbanding negeri lain. Kita akan lonjakkan lagi supaya hasil bertambah.
“Pada masa sama, kita akan mengambil berat dan lebih prihatin kepada masalah petani di semua peringkat,” katanya kepada Selangor Kini.
Pada sidang DUN lalu, Zaidy mengumumkan rancangan pelan induk berkenaan bagi memastikan Selangor tidak bergantung sepenuhnya kepada hasil pertanian dari luar negeri.
Setakat ini, Selangor masih kekal di kedudukan teratas dalam program Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM)dengan sumbangan 42.7 peratus atau RM32 juta daripada jumlah keseluruhan.
-NFN-