Categories
SELANGOR

Peserta industri komuniti dapat bantuan kerajaan tak sabar mula perniagaan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA KUBU BARU, 19 NOV: Peserta kursus Program Industri Komuniti Kampung (Jangka Sederhana) tidak sabar menerima bantuan peralatan memulakan perniagaan bernilai RM8,000 daripada Kerajaan Negeri.

Peserta kursus Kios Kopi, Hamzah Mohd Nor, 45, berkata beliau percaya kursus dan bantuan peralatan permulaan perniagaan itu membantu usahawan baru sepertinya memulakan perniagaan.

HAMZAH“Saya yakin kursus dan bantuan yang diberikan mampu melahirkan usahawan baru sama sebagai pendapatan utama keluarga atau pendapatan sampingan,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian selepas menamatkan kursus Program Industri Komuniti Kampung Jangka Sederhana di Institut Teknologi Kulinari Anjung Utara (ITKAU) di Kampung Gesir Tengah di sini, semalam.

Rohana Buang, 41, pula menyifatkan peluang diberi Kerajaan Negeri tidak wajar disia-siakan kerana ia mampu menjana pendapatan tambahan untuk keluarga.

ROHANA“Ini adalah peluang yang perlu direbut bakal usahawan yang berminat nak mulakan perniagaan dan memperbaiki ekonomi diri.

“Kursus yang diberikan berbeza dan membuka mata saya melihat peluang yang ada. Mudah bagi saya mencorak masa depan dalam perniagaan yang ingin dijalankan,” katanya.

Suzila Hassan, 35 pula memberitahu, beliau diberi tunjuk ajar cara menjalankan perniagaan dengan betul sekaligus mengurangkan risiko kerugian.

“Sebelum ini kami berniaga tanpa ilmu. Di sini, kami diajar dengan menggunakan teknik dan pengurusan yang betul dan membuatkan saya bertambah yakin untuk menjalankan perniagaan,” kata Suzila.

Terdahulu seramai 30 bakal usahawan menamatkan kursus Program Industri Komuniti Kampung (Jangka Sederhana) yang dianjurkan Exco Pembangunan Desa Kerajaan Selangor.

Kursus itu diadakan bertujuan melahirkan usahwan desa lebih ramai sekaligus menjana ekonomi di kalangan komuniti luar bandar.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.