Categories
NASIONAL

DAP: Apa jaminan Sabah kekal selamat?

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Wakil rakyat DAP hari ini mempersoalkan peranan kerajaan dan pihak berkuasa dalam memastikan Sabah bebas daripada sebarang ancaman.

Ahli Parlimen Sandakan, Stephen Wong Tien Fatt, berkata walaupun negeri itu berada di bawah jagaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), namun ia belum menjamin keselamatan penduduk.

Katanya, keadaan bertambah buruk apabila seorang rakyat Malaysia yang diculik di Sandakan dipenggal kepalanya oleh militan, baru-baru ini.

polis-komando-pain skal-dan-marin-sabah“Sampai bila zon di Sabah akan berada dalam keadaan perintah berkurung walaupun dipantau ESSCOM? Ini membuktikan Sabah tidak lagi selamat, bahkan semakin serius apabila penculikan berlaku di kawasan bandar seperti Sandakan,” katanya dalam sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Pada masa sama, Stephen juga meminta kerajaan memperjelaskan peruntukan RM660 juta pada tahun ini dan tambahan RM523 juta untuk 2016 dalam menjaga keselamatan Sabah.

Beliau berkata, walaupun kerajaan mendakwa mereka bersungguh-sungguh menjaga keselamatan negara, namun ia masih belum mencukupi untuk meyakinkan rakyat.

“Ketika kejadian (penculikan) itu, polis beri mesej bahawa mereka yakin dua tebusan akan selamat, namun malangya hanya seorang disahkan selamat.

“Bagaimana tragedi itu boleh berlaku? Bukankah polis atau pihak berkuasa memberi jaminan untuk memantau perkara ini dengan teliti?” katanya.

Bernard Then Ted Fen, tebusan Malaysia terakhir yang diculik di Sandakan, Sabah, dipenggal kepalanya oleh militan Abu Sayyaf.

Ted Fen, 39, dilaporkan dibunuh kira-kira jam 4 petang di kawasan terpencil yang dipercayai kubu kuat kumpulan militan itu di Pulau Jolo.

Beliau dikatakan dibunuh selepas keluarganya gagal memenuhi permintaan militan itu ketika rundingan sedang berjalan.

Pembunuhan itu berlaku ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Manila bagi menghadiri sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik selama dua hari.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.