Oleh: LIZAWATI MADFA
SHAH ALAM, 16 NOV: Pusat Wanita Berdaya (PWB) melangkah setapak lagi ke hadapan dengan Program Terapis PWB.
Exco Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata seramai 20 daripada 60 wanita hari ini terpilih menyertai program perintis itu.
Katanya, mereka yang lulus temuduga akan menyertai kursus selama enam hari.
“Mereka dibekalkan dengan ilmu berkaitan bagaimana menjadi seorang terapis yang baik.
“Ini memberi peluang kepada golongan wanita terutamanya ibu tunggal untuk menjana pendapatan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, beliau menyempurnakan pelancaran Program Terapis PWB di Wisma Mustika Ratu, Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur.
Pada 30 Oktober lalu, RM3 juta diperuntukkan untuk PWB menerusi Belanjawan Selangor 2016 yang bertemakan Membangun Smart Selangor Yang Peduli Rakyat.
Peruntukan itu antara lain bagi membangunkan program PWB Shoppe yang berfungsi sebagai pusat pengumpulan ‘home-based’ bagi usahawan wanita luar bandar.
EZY