Categories
SELANGOR

Pusat hiburan terlibat perjudian berdepan tindakan tutup

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 NOV: Pusat hiburan terbabit aktiviti perjudian berdepan tindakan ditutup, kata Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah.

Katanya, tindakan itu diambil ekoran terdapat pengusaha premis menyalahguna kelulusan diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.

Ean Yong Hian Wah“Pengeluaran lesen hiburan dibekukan Kerajaan Negeri sejak 2008 tetapi kita membenarkan pusat hiburan berkonsep keluarga dijalankan.

“Namun, masih terdapat pengusaha menyalahguna dengan menjadikan premis terbabit sebagai pusat perjudian,” katanya dalam sesi penggulungan di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Isu terbabit dibangkit Datuk Johan Abdul Aziz (BN-Semenyih) dan Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil).

8 Oktober lalu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengarahkan PBT menjalankan operasi membanteras aktiviti pusat perjudian berselindung di sebalik pusat hiburan keluarga.

Hian Wah berkata, jumlah terkini pusat hiburan di Selangor adalah sebanyak 766 dengan tertinggi di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) iaitu 195 diikuti antaranya Majlis Perbandaran Subang Jaya (143), Majlis Perbandaran Selayang (86), Majlis Perbandaran Klang (78) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (64).

Sementara itu, Hian Wah berkata, isu dibangkitkan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) mengenai pengecualian cukai taksiran bagi Kampung Baru/Bagan/Tersusun bagi tahun hadapan sudah diumumkan dalam Belanjawan Selangor pada 30 Oktober lalu.

“Kampung di Selangor terbahagi kepada Kampung Tradisi, Kampung Baru/Bagan/Tersusun dan Kampung Kaum India dan cadangan mengenainya sudah dimasukkan dalam senarai kampung di Selangor,” katanya.

cctvBeliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga sudah mengeluarkan surat pekeliling pada Jun lalu kepada pengusaha taska berdaftar dan akan berdaftar untuk kerja pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) sebagai syarat tambahan selain kelulusan PBT, Jabatan Kesihatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba).

“Bagaimanapun syarat tambahan itu berkuatkuasa sepenuhnya apabila Garis Panduan Pemasangan CCTV di setiap pusat taska dikeluarkan JKM,” katanya mengenai isu disentuh Ng Tien Chee (DAP-Balakong).

Leave a Reply

Your email address will not be published.