Categories
ADN SELANGOR

1,331 ahli SMUE Seri Kembangan boleh tuntut baucar Jom Shopping

SHAH ALAM, 8 NOV: Seramai 1,331 ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan boleh menuntut baucar Jom Shopping di pusat khidmat mulai hari ini.

Wakil rakyatnya Ean Yong Hian Wah berkata baucar bernilai RM100 itu khusus buat warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) berusia 21 tahun ke atas yang lahir pada Oktober hingga Disember.

“Mereka yang berdaftar boleh hadir ke Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Seri Kembangan hari ini untuk menuntut dan mula membeli-belah di pasar raya Grand Union Seri Kembangan pada 19 sehingga 30 November.

“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban penerima dan menceriakan sambutan ulang tahun kelahiran mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Penerima boleh membuat semakan melalui laman sesawang http://smue.yawas.my/admin/online_semakan.php.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan bantuan khairat kematian yang dihentikan pada Mei 2019 disambung semula.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah RM7.5 juta disediakan bagi melayakkan waris berdaftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menerima bantuan RM500.

Kerajaan Negeri juga menyediakan dana RM20 juta bagi melaksanakan program Jom Shopping SMUE.

 

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN gesa perbaiki khidmat ambulans bawa pesakit Covid-19 ke hospital

SHAH ALAM, 20 JUN: Kerajaan digesa menambah baik perkhidmatan ambulans bagi menampung tambahan pesakit Covid-19 untuk dibawa ke hospital bagi menerima rawatan.

Wakil rakyat Seri Kembangan berkata masalah yang dihadapi sejak dua bulan lalu di kawasan terbabit belum ditangani meskipun banyak panggilan dibuat kepada hospital.

“Ia sememangnya memberi tekanan kepada kita kerana pesakit atau ahli keluarga mereka tidak dapat menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Setiap kali mereka cuba hubungi hospital, operator akan maklumkan ambulans sedang sibuk dan minta pesakit pergi sendiri ke hospital,” kata Ean Yong Hian Wah ketika dihubungi.

Beliau menambah kerajaan perlu menggunakan pengalaman mengurus pandemik sejak tahun lalu untuk memperbaiki kelemahan dalam sistem perkhidmatan kesihatan.

“Adalah tidak wajar mereka masih tidak dapat menguruskan hal seperti ini dan sepatutnya menangani kelemahan yang ada dengan segera supaya tidak membebankan rakyat,” kata Ean Yong.

Categories
ADN SELANGOR

Seri Kembangan peruntuk RM10,000 beli alat nyahcemar

SHAH ALAM, 27 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan memperuntukkan RM10,000 bagi membeli peralatan mesin untuk operasi nyahcemar bagi mencegah Covid-19, kata Ahli Dewan Negerinya.

Ean Yong Hian Wah berkata langkah itu diambil atas permintaan penduduk dan pihak pengurusan beberapa pangsapuri yang kurang berkemampuan, bagi memastikan kebersihan di DUN seterusnya bebas daripada wabak berkaitan.

“Selain itu, ia juga bagi membantu kerajaan yang mungkin kekurangan jentera untuk melakukan proses nyahcemar di seluruh kawasan dalam sesuatu daerah.

“Justeru, kita sebagai wakil rakyat perlu fikir alternatif untuk melaksanakannya dengan sejumlah peruntukan bagi menampung kosnya,” katanya kepada SelangorKini.

Proses nyahcemar dengan kerjasama pasukan Bomba Sukarela sudah bermula sejak pertengahan Mac lalu yang dilakukan secara berperingkat mengikut kawasan di DUN berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Hian Wah turut memuji kebanyakan penduduk yang mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ditetapkan kerajaan.

Categories
ADN SELANGOR

Pasang CCTV cekup pembuang sampah haram

SERI KEMBANGAN, 2 SEPT: Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah memperuntukkan RM10,000 bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) untuk menangani masalah pembuangan sampah haram di kawasan industri, di sini.

Katanya, usaha itu dibuat berdasarkan aduan pengusaha industri kecil dan sederhana serta penduduk setempat ekoran lambakan sampah haram di kawasan terbabit, sejak akhir-akhir ini.

“Apabila CCTV ini dipasang lebih awal, mungkin kita akan berjaya mengurangkan, sekali gus mencegah masalah pembuangan sampah secara haram ini.

“Saya berharap supaya individu tidak bertanggungjawab ini akan dapat dicekup segera dan berkemungkinan pada masa akan datang saya akan menambah lagi jumlah CCTV,” katanya.

Hian Wah berkata, kebanyakan sampah yang dibuang adalah hasil sisa domestik dan industri serta dipercayai dilakukan oleh pekerja warga asing berhampiran.

Katanya, lebih memburukkan keadaan apabila kenderaan lama turut dibuang di lokasi sama.

“Saya mencadangkan supaya Majlis Perbandaran Subang Jaya menunda kenderaan buruk serta terbiar ini memandangkan ia juga menghalang laluan orang awam,” katanya.

Categories
SELANGOR

Hospital Serdang perlukan parkir bertingkat – ADN Seri Kembangan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SERDANG, 2 NOV: Kemudahan parkir kereta bertingkat di Hospital Serdang sudah dikemukakan bagi menangani masalah kekurangan parkir sekali gus mengatasi masalah parkir di bahu jalan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, bagaimanapun cadangan itu masih belum mendapat kelulusan dan pihaknya berharap Menteri Kesihatan memberi keutamaan untuk pembangunan kemudahan itu.

“Pengunjung Hospital Serdang kerap kali mengadu disaman polis kerana meletakkan kenderaan di bahu jalan raya gara-gara tidak mempunyai tempat letak kereta.

“Isu ini telah lama dibangkitkan penduduk dan juga pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital ini, mereka menghadapi masalah mencari tempat letak kereta dan terpaksa meletakkan kenderaan di tepi jalan luar daripada kawasan hospital.

 

“Justeru itu, saya berharap supaya Menteri Kesihatan memberi keutamaan kepada Hospital Serdang untuk membina tempat letak bertingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Jalan Hospital Serdang bersama penduduk setempat.

Hian Wah berkata, cadangan itu memerlukan peruntukan lebih kurang RM84 juta dan dijangka boleh memuatkan 2,000 kenderaan.

“Saya amat berharap supaya kemudahan ini segera dilaksanakan sekali gus memudahkan orang awam,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kuih bulan comel buat penduduk Seri Kembangan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 OKT: Unik, lebih 1,000 kuih bulan dengan bentuk kartun popular seperti Doraemon dan Mickey Mouse diedar kepada penduduk Seri Kembangan, baru-baru ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, edaran kuih itu diberikan sempena Perayaan Kuih Bulan atau Perayaan Pertengahan Musim Luruh.

Katanya, ia merupakan antara perayaan terpenting selain Perayaan Tahun Baru Cina.

“Ia disambut bagi meraikan kemenangan orang Cina menumpaskan penjajah Mongol pada akhir Dinasti Yuan.

“Kuih Bulan merupakan salah satu hidangan istimewa pada perayaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengedarkan kuih bulan di Pasar Pagi Seri Kembangan.

Hian Wah berkata, beliau turut mengedarkan lebih 6,000 kuih bulan kepada penduduk di kawasannya pada minggu lalu.

“Pengedaran kuih ini amat penting, ia bukan sekadar memberi orang ramai kuih percuma, tetapi di situ terdapat ramai suku kaum etnik Hakka yang begitu menitikberatkan Perayaan Festival Kuih Bulan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jalan ditutup dua bulan, penduduk diminta bersabar – ADN Seri Kembangan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 SEPT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah meminta penduduk berhampiran Taman Perindustrian Bukit Serdang, di sini supaya bersabar ekoran penutupan jalan selama dua bulan.

Katanya, ia ekoran kerja pemasangan paip air dari Lebuhraya Sungai Besi ke takungan Bukit Dengkil, sekaligus menyebabkan Jalan PBS 14/7 di situ akan ditutup bermula 27 September ini.

“Memandangkan kerja-kerja dijalankan melibatkan hampir separuh daripada jalan itu, maka pihak yang bertanggungjawab memutuskan menutup lalu lintas atas alasan keselamatan.

“Semasa penutupan jalan ini, pemandu kenderaan perlu menggunakan jalan alternatif, ia terkecuali kepada pelanggan dan pemilik kedai yang terletak di sepanjang jalan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir membuat tinjauan penutupan jalan itu, baru-baru ini.

Dalam masa sama, Hian Wah berkata, pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya tidak meletakkan kenderaan berhampiran kawasan projek yang sedang berjalan untuk tujuan keselamatan.

“Pengguna jalan dinasihatkan untuk mematuhi papan tanda keselamatan dan arahan yang terdapat pada kedua-dua hujung jalan.

“Difahamkan projek sepanjang 13 kilometer ini akan disiapkan sekitar Mac 2019,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Buang sisa kebun secara terurus

OLEH NADIAH ZAMLUS

SERI KEMBANGAN, 28 JUL: Buang sisa kebun anda dengan cara yang betul, demikian nasihat Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Katanya, tidak sepatutnya penduduk membuang begitu sahaja sisa pokok mahupun tanah di merata tempat selepas aktiviti berkebun.

“Walaupun ia adalah daun dan boleh mereput dengan sendiri, namun ia tetap memberi imej yang tidak baik sekiranya dibuang merata tempat, malah ia akan menyukarkan kakitangan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk membuat kutipan sampah.

“Buang kesemua sisa ini seperti sampah lain juga, di dalam tong sampah yang sepatutnya, jika kita ingin komuniti kita terjaga rapi, biarlah ia bersih dan cantik selalu,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Program Penanaman Pokok Bersama Komuniti di Sungai Kuyoh pagi tadi.

Hian Wah berkata, beliau berbangga apabila komuniti setempat menanam pokok secara sukarela sekaligus membuatkan kawasan setempat lebih segar.

“Saya juga menyokong sepenuhnya aktiviti agensi kerajaan ini dan berharap penduduk menjaganya dengan baik,” katanya.

Categories
SELANGOR

‘Membina Kehidupan Baru’, cerita Kampung Tersusun Negeri Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 17 APR: Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah hari ini melancarkan Buku Kampung Tersusun, hasil karya Tan Sue Suen bersama Vincy How.

Buku yang berkisarkan sejarah kehidupan 17 buah kampung tersusun di Selangor itu turut mencatatkan rekod masyarakat dan sejarah sejak akar umbi penubuhannya.

Beliau berkata, penghasilan buku terbabit adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri untuk berkongsi sejarah awal kampung tersusun seterusnya menjalani transformasi membina kehidupan baru dalam arus perdana negara.

“Pendedahan tentang kampung tersusun amat penting khususnya kepada generasi muda untuk lebih mendalami sejarahnya melalui teks dan gambar.

“Ia sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk merasai usaha nenek moyang dan menghargai jasa dalam pembinaan rumah halaman.

“Lebih penting lagi, buku ini dapat memperingati semua bahawa kampung ini bukan sekadar tempat tinggal sahaja, malahan menjadi aset bernilai untuk Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Buku Baru Kampung Tersusun, di Bilik Mesyuarat Melor, Bangunan SUK, di sini, hari ini.

Hian Wah berkata sebanyak 2,000 naskah diterbitkan dan proses mencari bahan serta maklumat daripada penduduk tempatan mengambil masa selama setahun.

“Kita akan mengedarkan buku ini di Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan warga akademik di seluruh Selangor,” katanya.

Buku bertajuk Membina Kehidupan Baru, cerita Kampung Tersusun itu merupakan buku ke tiga selepas penghasilan buku Kampung Baru dan Kampung Bagan.

Terdapat 42 Kampung Baru, 19 Kampung Bagan dan 17 Kampung Tersusun di negeri itu.

Categories
SELANGOR

Pembangunan Kampung Baru, Bagan dan Tersusun terus diberi perhatian

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 APR: Pembangunan Kampung Baru, Bagan dan Tersusun terus diberi perhatian dalam usaha meningkatkan kemudahan asas bagi keselesaan penduduk terbabit.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, sejak 10 tahun PAKATAN memerintah, lebih 2,000 hak milikan tanah berjaya diserahkan kepada penduduk.

Katanya, walaupun penduduk kampung itu didominasi satu kaum sahaja, kerajaan tetap prihatin kepada sebarang bentuk keperluan.

“Sejak 10 tahun lalu, pelbagai kemudahan infrastruktur asas disediakan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM5 juta khusus bagi menaiktaraf insfrastruktur di kampung-kampung ini.

“Kita mengangkat martabat kampung-kampung ini, berbeza dengan pentadbiran terdahulu,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Buku Membina Kehidupan Baru, cerita Kampung Tersusun di Selangor.

Pada masa sama, Hian Wah berkata Kerajaan Negeri memberi jaminan akan terus membantu meningkatkan kemudahan asas dan keperluan penduduk di kampung itu.

Katanya, Kerajaan Negeri juga mewujudkan pentadbiran yang erat bersama penduduk setempat.

Terdahulu, Kerajaan Negeri turut melancarkan Smart Desa Selangor yang diyakini memberdaya masyarakat luar bandar terus berada dalam arus perdana pembangunan serta menikmati kemudahan dan mutu kehidupan setara kehidupan moden masyarakat bandar.

PLANMalaysia@Selangor berjaya menghasilkan Pelan Halatuju Strategik Desa Selangor 2035, iaitu dokumen perancangan spatial berhubung perancangan dan cadangan pembangunan desa.

Ia membabitkan 519 kampung kampung tradisi, kampung tersusun, kampung baru, kampung bagan dan kampung orang asli.

Ia adalah penegasan terhadap usaha menjana sumber pendapatan secara strategik, melaksanakan pembangunan berkualiti serta menyantuni rakyat melalui Inisiatif Peduli Rakyat.

Categories
PBT SELANGOR

Dapat reaksi positif, KDEBWM perluas perkhidmatan ke PBT lain

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 12 FEB: Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) akan memperluaskan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal ke beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Selangor, tahun ini, selepas mendapat reaksi positif rakyat.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata pengambilalihan perkhidmatan berkaitan dibuat anak syarikat Kerajaan Negeri itu daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK) sejak Julai 2016, menunjukkan perubahan seperti disasarkan.

“Selepas pengambilalihan itu, kita mendapat maklum balas positif daripada rakyat kerana kita tahu sebelum ini memang Klang berdepan isu kebersihan dan perkara berkaitan.

“Perubahan berlaku ini turut menarik minat PBT lain di Selangor bagi mendapatkan perkhidmatan KDEBWM dan kita akan memperluaskannya bagi tujuan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Selepas MPK, KDEBWM turut mengembangkan perkhidmatan pengurusan sisa pepejalnya ke Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) tahun lalu.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pertandingan Kaligrafi Cina inisiatif kekal tradisi

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 5 FEB: Pertandingan Kaligrafi Cina anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 200 peserta, semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, pertandingan yang memasuki edisi ke-9 itu bertujuan meningkatkan taraf kaligrafi cina dalam kalangan anak muda khususnya.

“Ia juga sudah menjadi satu tradisi masyarakat cina menghias rumah dengan tulisan kaligrafi sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

“Selain mengekalkan tradisi, program itu juga bertujuan memupuk hubungan masyarakat tempatan,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Ean berkata, pertandingan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Seri Kembangan itu disertai pelbagai peringkat usia seawal umur tujuh hingga 60 tahun.

“Pertandinga dibuka kepada tiga kategori iaitu kategori kumpulan terbuka, kumpulan sekolah rendah dan kumpulan sekolah menengah.

“Program ini akan diteruskan untuk tahun akan datang kerana Kaligrafi merupakan salah satu kesenian yang paling tinggi dan diberi penghormatan oleh masyarakat Cina,” katanya.