Categories
NASIONAL

Rafizi: Jangan menikus belakang pemimpin Umno, Arul jom berdebat

Oleh : AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 NOV: Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli terus mengasak Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy supaya menerima undangan debat seperti dicadangkan sebelum ini dan bukan menikus di belakang pimpinan Umno mahupun kerajaan.

Katanya, memandangkan Arul Kanda secara terbuka menyatakan kesediaan untuk berdepan dengan sesiapa, beliau bersedia menyahut cabaran itu.

rafizi pc white stripes 01“Saya akan menulis secara rasmi kepada Arul Kanda untuk bersama dalam satu perdebatan mengenai 1MDB pada tarikh dan masa yang akan ditetapkan oleh penganjur kelak.

“Saya juga akan menulis secara rasmi kepada Sinar Harian untuk menjadi penganjur bebas kerana akhbar itu sudah beberapa kali mengadakan forum atau perdebatan yang menemukan pimpinan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

“Format dan segala peraturan perdebatan adalah terpulang kepada Sinar Harian,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Pandan itu berharap Arul Kanda menyahut cabaran debat kali ini tanpa sebarang alasan.

Jika Arul Kanda menolak, Rafizi menyifatkan Presiden 1MDB itu sebagai tidak profesional dan dinasihatkan menyertai Umno secepat mungkin.

arul kanda“Saya beranggapan beliau pun tidak berbeza dengan ahli politik Umno yang hanya berani mendabik dada di gelanggang dan di depan penyokong sendiri,” katanya.

Sebelum itu, Arul Kanda hampir berdebat mengenai 1MDB bersama Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Tony Pua namun, Pakatan Harapan menamakan Rafizi sebagai pengganti disebabkan Pua merupakan ahli Jawatankuasa Kira-Kira (PAC).

Bagaimanapun, Arul menolak pelawaan debat bersama Rafizi dan kekal dengan pendirian untuk bersemuka dengan Tony Pua sahaja.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.