Categories
SELANGOR

Selangor antara negeri terendah hutang Kerajaan Persekutuan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 OKT: Selangor merupakan antara negeri memiliki tunggakan hutang Kerajaan Persekutuan paling rendah dengan jumlah tunggakan sebanyak RM6.73 juta sehingga 30 September 2015.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, berkata rekod itu membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat membayar balik hutang RM212 juta sejak 2011.

MB Azmin“Jumlah hutang dibayar Kerajaan Negeri sejak lima tahun lalu RM30.23 juta (2011), RM127.33 juta (2012), RM31.9 juta (2013), RM31.91 juta (2014) dan RM22.64 juta (2015),” kata Mohamed Azmin ketika menjawab soalan Ng Sue Lim (DAP-Sekinchan) pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Untuk rekod, tunggakan hutang secara perbandingan antara negeri (31 Disember 2013) sudah diaudit mendapati Sabah tiada dan Pulau Pinang tiada tunggakan, Sarawak berhutang RM2.28 juta, Selangor (RM49.27 juta), Negeri Sembilan (RM111.38 juta), Perlis (RM189.45 juta), Melaka (RM225.55), Kelantan (RM247.16), Terengganu (RM435.27), Pahang (RM654.02) dan Kedah (RM1 bilion).

Ketika menjawab soalan tambahan, Mohamed Azmin memberitahu Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) mengambil alih hutang berjumlah RM902.54 juta Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan semasa dasar penswastaan industri air mula diperkenalkan pada era pentadbiran Barisan Nasional (BN).

“Ini salah satu syarat Syabas perlu membayar hutang itu kepada Kerajaan Persekutuan mengikut jadual ditetapkan. Ini adalah sebahagian terma dalam konsesi penswastaan.

“Ketika berlaku penstrukturan semula industri air di Selangor, hutang ini turut diambil kira dan menjadi tanggungjawab Air Selangor bayar terus baki pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan melalui pajakan sewa dan kemudahan air ini,” kata Mohamed Azmin lagi.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.