Categories
SELANGOR

Ella: Terap nilai positif dalam Battle of The Bands

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 NOV: Ratu rock negara, Ella percaya Kerajaan Selangor mampu menerapkan nilai positif dalam tema penganjuran pertandingan Battle Of The Bands (BOTB) yang dirancang diadakan pada tahun hadapan.

Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin berkata, penerapan nilai positif dalam tema pertandingan seumpama ini diperlukan supaya generasi muda tidak terlibat dalam gejala negatif seperti mencampurkan elemen pengambilan dadah dengan hiburan atau seumpamanya.

Battle Band“Kerajaan Selangor perlu memperbanyakkan aktiviti ini dari kampung sehingga ke peringkat profesional dan juga perlu menerapkan nilai positif dalam tema BOTB itu nanti supaya anak muda ini tidak terlibat dalam gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah.

“Pada Ella, muzik itu sendiri tidak memberi pengaruh negatif tetapi imej ataupun pembawakan pemuzik atau penyanyi itu sendiri yang menunjukkan imej positif mahupun negatif,” kata penyanyi yang dibesarkan di Klang itu kepada Selangor Kini.

Ketika menyentuh perkembangan muzik rock yang semakin diterima masyarakat hari ini berbanding ketika tercetusnya fenomena BOTB pada 1985 dahulu, Ella menjelaskan keadaan ini didorong dengan keterbukaan fikiran masyarakat hari ini dengan menerima konsep hiburan muzik tanpa dicemari gejala negatif.

Bekas vokalis kumpulan The Boys itu mula menempa nama dalam industri muzik tempatan pada 1985 apabila kumpulannya menyertai pertandingan BOTB yang mencetuskan demam rock dikalangan anak muda ketika itu.

ElaSelain Ella And The Boys, turut sama bergandingan dalam pertandingan yang pada masa sama turut mencetuskan kontroversi itu, Lefthanded, Bloodshed, Rahim Maarof and Whitesteel dan SYJ.

Antara isu hangat diperkatakan terutama di pihak Kementerian Penerangan diterajui Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat pada masa itu adalah isu penyanyi atau pemuzik lelaki berambut panjang dipandang serong.

Sebelum ini, Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor, Amirudin Shari mengumumkan aktiviti seni pada 2016 dirancakkan apabila Kerajaan Negeri merancang mengadakan pertandingan BOTB dengan melibatkan pelbagai peringkat.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.