Categories
SELANGOR

Warisan adat Melayu terus dipelihara

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 21 NOV: Kerajaan Negeri terus komited memelihara warisan dan khazanah sejarah di Selangor melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) termasuk penganjuran Temasya Budaya dan Warisanku.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata menjadi harapan PADAT untuk terus menarik minat masyarakat khususnya rakyat Selangor berkenaan warisan dan budaya.

IMG_1438“Kita turun ke daerah melalui pelbagai program tradisional yang menarik supaya dapat menjadi kelangsungan wadah dalam menjadikan Selangor sebagai negeri yang memartabatkan adat, seni, budaya dan warisan.

“Melalui program sebegini akan terhimpun budayawan, sasterawan, penggiat seni dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bertunjangkan seni seluruh negeri ini bagi memastikan adat dan warisan terus diwarisi,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Temasya PADAT: Budaya dan Warisan di Muzium Shah Alam, di sini, semalam.

Yunus berkata, menjadi tanggungjawab bersama menjayakan program warisan kerana banyak tinggalan khazanah adat yang wajar dikekalkan

IMG_1422“Terdapat pelbagai aktiviti yang bakal menarik minat orang ramai seperti pameran barangan antik, gerai masakan warisan, persembahan dan permainan tradisional, bengkel seni khat serta malam budaya juga bahasa dalam temasya ini.

“Kita berharap ia mampu membuka pandangan masyarakat supaya lebih menghargai nilai yang dibawa dalam sesebuah budaya dan warisan,” katanya.

Turut hadir ke perasmian itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Mohd Faizul Fitri Muslil; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim; Presiden Pesaka Selangor, Sulleh Udin dan Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Selangor, Abdul Razak Maksud.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.