Categories
AGENDA NASIONAL

Kapal ditemukan di Lipis dianggar usia sekitar abad ke-18

KUANTAN, 16 JAN: Rangka kapal yang ditemukan selepas banjir surut di Kampung Penjom, Kuala Lipis kira-kira 220 kilometer dari sini pada dua hari lalu, dianggarkan dibina pada abad ke-18 dan 19.

Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN) Mesran Mohd Yusop berkata kapal yang diperbuat daripada binaan kayu dan tembaga itu berkemungkinan besar ialah kapal dagang milik Inggeris atau digunakan oleh pembesar pada zaman tersebut.

Ia berdasarkan penemuan kepingan plat besi bertulis Vivian & Son pada 1824, iaitu syarikat yang ditubuhkan bagi menjalankan operasi peleburan tembaga pada 1809 sebelum berkembang menjadi rumah peleburan terkemuka pada 1820.

Syarikat itu dipercayai mengalami zaman kejatuhan pada akhir abad ke-19 dan merosot pada awal abad ke-20 dan pada 1924, ia bergabung menjadi British Copper Manufacturers Limited yang kemudiannya diambil alih oleh Yorkshire Imperial Metals pada 1926.

“Pemeriksaan pada bahagian dalam kapal tidak menemukan artifak melainkan serpihan seramik buat masa ini. Namun, pihak kami mendapati terdapat kesan kapal itu telah diganggu dipercayai oleh mereka yang mengambil komponen seperti paku atau dinding kapal disalut tembaga.

“Kita percaya barangan tersebut dijual kepada pembeli barangan lusuh kerana semalam, selepas dinasihatkan polis, sebuah syarikat barangan lusuh telah memulangkan komponen yang dianggarkan seberat 100 kilogram yang dijual kepada mereka,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mesran memohon mereka yang menyimpan komponen atau barangan diambil dari kapal tersebut untuk segera memulangkannya kepada polis memandangkan ia adalah sebahagian daripada warisan negara.

Mesran berkata JWN juga akan memulakan kerja penyelamatan dan pemindahan rangka kapal itu bagi tujuan penyelidikan dan pencarian bukti sejarah, dan bagi tujuan itu, rangka kapal tersebut akan dipindahkan ke Muzium Warisan Kuala Lipis.

“Bagaimanapun, sementara kapal itu masih berada di lokasi penemuan, kami akan meminta bantuan polis untuk terus memantau lokasi tersebut bagi mengelakkan berlaku lagi insiden pencerobohan atau kehilangan objek,” katanya.

Rangka kapal itu ditemukan terdampar di tepi Sungai Lipis, berdekatan jambatan gantung Sungai Kampung Pagar Penjom pada Khamis lepas (14 Januari) dipercayai kesan akibat banjir yang melanda kampung tersebut pada 3 Januari.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lebih 7,200 ahli Umno keluar parti, sertai Warisan

TAWAU, 9 DIS: Parti Warisan Sabah (Warisan) menerima kemasukan 7,206 bekas ahli UMNO menyertai 121 cawangan di bahagian Kalabakan, di sini, hari ini.

Penyerahan borang keahlian itu disampaikan oleh wakil cawangan kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan disaksikan oleh Setiausaha Agung parti, Lorreto S Padua.

Mohd Shafie, yang juga Ketua Menteri, dalam ucapannya berkata, penting untuk ahli parti membesarkan parti dengan menambah keanggotaan parti.

“Menjadi tanggungjawab anggota parti untuk menguatkan parti dengan membesarkan parti.

“Namun dalam membesarkan parti banyak nilai-nilai positif perlu diamalkan ahli parti, bukan hanya ahli bahkan pimpinan itu perlu beramal kepada rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, sokongan rakyat membolehkan pimpinan kerajaan baharu hari ini memimpin dan menukar pemerintah yang lama.

“Setiap perkara yang dilakukan ahli parti perlu berpaksikan kepada rakyat, kehendak rakyat walaupun bukan semua yang dapat dipenuhi sekarang.

“Ada rakyat yang mahu kerja, ada rakyat yang mahu rumah, tetapi sekurangnya kita perlu besarkan parti ini untuk kita mengetahui citarasa serta rintihan rakyat selain membangunkan Sabah dan mempertahankan hak rakyat seperti yang disebut dalam janji Warisan pada pilihan raya umum yang lalu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata partinya menerima sesiapa sahaja yang mahu menyertai Warisan kerana bertujuan untuk menyatukan rakyat.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR SENI

Kerajaan Negeri galak usaha angkat seni warisan & budaya

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUCHONG, 20 OKT: Kerajaan Negeri sentiasa menyambut baik usaha memartabatkan seni warisan dan budaya supaya terus dapat diwarisi generasi akan datang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, usaha itu dipergiatkan menerusi beberapa program berasaskan kesenian dan kebudayaan.

“Ia dilaksanakan di setiap pelusuk daerah dan kampung tanpa meminggirkan sesuatu kaum, budaya, seni dan adat orang Asal yang sangat unik serta berharga.

“Contohnya, melalui penganjuran karnival kesenian dan kebudayaan, ia boleh memberi pendedahan serta merapatkan semua golongan tidak mengira bangsa, umur juga budaya.

“Selain itu, program seperti ini akan dapat mempromosikan warisan, kebudayaan dan kesenian orang Asal kita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Perasmian Karnival Kebudayaan Dan Kesenian Orang Asli 2018, di Padang Perkampungan Orang Asal Sungai Rasau Hilir, Batu 14, di sini, hari ini.

Seramai 410 wakil orang Asal dari pelbagai lokasi di Selangor terbabit sama dalan menjayakan festival berkenaan.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kampung Sungai Rasau antara 30 perkampungan Orang Asal yang masih mengekalkan amalan tradisi, meskipun diasak kepesatan pembangunan di era kemodenan abad ke-21.

“Terdapat hampir 30 perkampungan orang Asal yang rata-ratanya adalah Suku Temuan dan sebahagian daripada mereka yang diraikan di sini iaitu dari kawasan Sungai Melut, Bukit Cheeding Banting, Orang Asli Bukit Kemandol, Jenjarum dan juga di Bukit Bandaraya, Shah Alam.

“Kampung Sungai Rasau berkeluasan hampir 200 ekar dengan kependudukan seramai 338 orang dan mempunyai 116 buah rumah melibatkan 50 keluarga yang beragama Islam.

“Bagaimanapun, semua komuniti orang Asal di sini tetap mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Terdahulu, edisi ketiga penganjuran bagi 2018 itu antara komitmen diambil Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sebagai wadah memperkenal dan memberi pendedahan kepada orang awam termasuk pelancong, mengenai seni serta budaya masyarakat Asal.

Justeru, Amirudin berharap, program sedemikian dapat diteruskan pada masa hadapan supaya semua masyarakat dapat meraikan kekayaan kebudayaan dan kesenian, sekali gus mempertingkatkan industri pelancongan di Selangor.

Categories
NASIONAL

Shafie: WARISAN sedia kerjasama, fokus tumbang Umno-BN

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Parti Warisan Sabah (WARISAN) terbuka untuk menjalinkan kerjasama bersama gabungan pembangkang bagi tujuan menumbangkan Umno Barisan Nasional, menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Pengerusinya, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, walaupun belum ada sebarang cadangan mengenai pembentukan bersama gabungan pembangkang, namun parti itu optimis untuk terus memecahkan penguasaan Umno-BN.

“Kita akan melihat sebarang bentuk kerjasama. Namun, fokus kita ingin menumbangkan Umno-BN kerana sesiapa sahaja yang mempunyai hasrat sama, mengapa tidak?” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

shafieTerdahulu, beliau diminta mengulas sebarang ruang kerjasama antara WARISAN dan parti pembangkang khususnya di Semenanjung dan Sabah.

Pagi ini, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan permohonan Shafie untuk meminda nama Parti Pembangunan Warisan Sabah (PPWS) kepada Parti Warisan Sabah (WARISAN).

Proses tersebut dibuat sebagai usaha bekas pemimpin Umno itu untuk mengambilalih dan membangunkan semula parti berkenaan.

Shafie sebelum ini digantung keahliannya dalam Umno selepas lantang mengkritik pentadbiran Presidennya, Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal dan penyelewengan 1MDB.

Bagaimanapun, Shafie kemudiannya mengumumkan bahawa beliau keluar daripada Umno dan meletakkan jawatannya sebagai Ketua Bahagian Umno Semporna Sabah.

Shafie sebelum ini dikenali antara pemimpin Umno Sabah paling berpengaruh dan sinonim dalam kalangan warga Sabah.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Warisan adat Melayu terus dipelihara

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 21 NOV: Kerajaan Negeri terus komited memelihara warisan dan khazanah sejarah di Selangor melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) termasuk penganjuran Temasya Budaya dan Warisanku.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata menjadi harapan PADAT untuk terus menarik minat masyarakat khususnya rakyat Selangor berkenaan warisan dan budaya.

IMG_1438“Kita turun ke daerah melalui pelbagai program tradisional yang menarik supaya dapat menjadi kelangsungan wadah dalam menjadikan Selangor sebagai negeri yang memartabatkan adat, seni, budaya dan warisan.

“Melalui program sebegini akan terhimpun budayawan, sasterawan, penggiat seni dan badan bukan kerajaan (NGO) yang bertunjangkan seni seluruh negeri ini bagi memastikan adat dan warisan terus diwarisi,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Temasya PADAT: Budaya dan Warisan di Muzium Shah Alam, di sini, semalam.

Yunus berkata, menjadi tanggungjawab bersama menjayakan program warisan kerana banyak tinggalan khazanah adat yang wajar dikekalkan

IMG_1422“Terdapat pelbagai aktiviti yang bakal menarik minat orang ramai seperti pameran barangan antik, gerai masakan warisan, persembahan dan permainan tradisional, bengkel seni khat serta malam budaya juga bahasa dalam temasya ini.

“Kita berharap ia mampu membuka pandangan masyarakat supaya lebih menghargai nilai yang dibawa dalam sesebuah budaya dan warisan,” katanya.

Turut hadir ke perasmian itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Mohd Faizul Fitri Muslil; Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim; Presiden Pesaka Selangor, Sulleh Udin dan Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Selangor, Abdul Razak Maksud.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Budaya dan Warisanku himpun pelbagai seni warisan

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 20 NOV: Orang ramai dijemput memeriahkan Temasya PADAT: Budaya dan Warisanku anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT, yang akan berlangsung hingga 22 November ini.

Program selama tiga hari itu diadakan bagi mencetus minat masyarakat terhadap warisan dan budaya khususnya warga Selangor yang bertempat di Muzium Sultan Alam Shah, di sini.

SeniTemasya itu akan menghimpunkan pelbagai seni warisan seperti silat, tarian, masakan tradisional Selangor, pakaian dan permainan tradisional dan muzik cempuling.

Turut disediakan gerai jualan, bengkel, pertandingan tarian piring, motosikal klasik, pakaian tradisional dan wow kapal, dam aji, sepak raga bulatan serta congkak.

Program akan dirasmikan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Maklumat lanjut boleh menghubungi unit korporat PADAT 03-55190050 atau layari laman sesawang rasmi di www.padat.gov.my.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Luaskan program kesenian di Selangor, masyarakat boleh belajar keunikan pelbagai kaum

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA LANGAT, 7 DIS: Usaha penganjuran program berbentuk kesenian dan warisan budaya diharap dapat diperluas dan diperbanyakkan di Selangor.

Bagi penjawat awam, Mazlan Rusni, 46, usaha berkenaan tidak seharusnya tertakluk kepada budaya warisan Melayu sahaja.

Lan“Kalau boleh anjurkan juga kesenian budaya bangsa lain seperti Cina, India, orang asal dan lain-lain yang terdapat di Malaysia ini.

“Dengan ini, dapatlah kita pelajari budaya masing-masing kerana setiap satu itu ada keunikannya tersendiri,” katanya kepada Selangor Kini pada majlis perasmian Himpunan Basikal Tua dan Klasik Semalaya di Dataran Pantai Morib,  di sini, semalam.

Majlis yang disempurnakan Exco Adat Melayu, Pembangunan Desa Kampung Tradisi, Dr. Ahmad Yunus Hairi, itu turut diselitkan acara makan Nasi Ambeng yang dihidang di dalam dulang.

IMG_7008Mohd Razif Husaini pula berkata, program berkenaan mampu memupuk kemesraan dan jalinan persahabatan antara peserta, pengunjung dan keluarga.

“Tahniah dan syabas kepada penganjur, semoga lebih banyak program sebegini diadakan pada masa akan datang. Dalam dunia teknologi komunikasi ini, jangan pula kita lupa pembangunan warisan budaya kita,” katanya.

Razif yang mengetuai Pasukan Radio Amatur akan membantu melicinkan program kayuhan lebih 300 basikal tua dan klasik, pada 8 Disember ini.

-NFN-